ARKIB : 03/04/2002
PENYERANG Sabah, Josiah Seton
(jersi merah) menewaskan pertahanan dan penjaga gol Selangor untuk menjaringkan
gol penyamaan pada perlawanan di Stadium Penampang, Kota Kinabalu, semalam.
Perlawanan berkesudahan seri 1-1. - Gambar Zulkarnain Mohd Saidin.
SABAH menyempitkan peluang
Selangor untuk bersaing merebut kejuaraan pusingan pertama bola sepak Liga
Perdana Satu apabila memaksa keputusan seri 1-1 dalam aksi di Stadium
Penampang, Kota Kinabalu, semalam.
Meskipun Selangor lebih awal
memecah kebuntuan menerusi jaringan Mohd. Fareed Shah Hassan pada minit ke-29,
kegembiraan Merah Kuning terhenti dua minit kemudian apabila Josiah Seton
menyamakan kedudukan.
Gol Fareed berpunca daripada
sepakan kencang Mohd. Aiman Wong Abdullah yang menerima hantaran lambung Yusri
Che Lah yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Sabah, Khairul Azman
Mohamad.
Penyerang import dari Liberia,
Seton pantas menyamakan kedudukan dua minit kemudian apabila melepasi perangkap
ofsaid pasukan pelawat.
Asmawi Bakiri melorongkan bola
kepada Seton yang membawa bola secara solo dari kawasan tengah dan
memperdayakan Azmin Azram Aziz untuk gol penyamaan Sabah.
Perlawanan antara kedua-dua
pasukan agak seimbang walaupun pasukan Merah Kuning lebih menguasai permainan
terutama pada babak kedua perlawanan.
Dalam usaha menambah jaringan,
Sabah terpaksa bermain 10 orang apabila K. Sambagamaran dilayangkan kad merah
setelah mendapat kad kuning kedua dalam perlawanan itu selepas mengasari pemain
import Selangor, Ivica Kulesevic pada minit ke-76.
Pengadil perlawanan, Mohd.
Rashidi Hamat turut melayangkan kad kuning kepada dua pemain Selangor iaitu B.
Rajnikandh dan Mohd. Aiman dan juga Seton.
Harapan Sabah untuk mencari
kemenangan bagi melebarkan kedudukan mata dalam saingan Perdana Satu terus
gagal apabila ayam tambatannya, Seton terpaksa dikeluarkan setelah mengalami
kejang otot 10 minit sebelum tamat perlawanan dan digantikan oleh Joseph Amoah.
Bagaimanapun, pujian harus diberi
kepada Khairul Azman yang mengawal gawang dengan cemerlang bagi menghalang
Selangor daripada terus membolosi gawang skuad Badak.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4c1CSDgxh©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan