ARKIB : 04/04/2001
PENJAGA gol Pahang, Mudzar
Muhamad melayangkan badan untuk menangkap bola sepakan penyerang Selangor dalam
perlawanan Perdana Satu di Shah Alam semalam, Selangor dan Pahang seri 2-2. -
Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI.
PEMAIN kebangsaan, B. Rajinikandh
menyelamatkan maruah juara bertahan bola sepak Liga Perdana Satu, Selangor
daripada tersungkur di gelanggang sendiri apabila menjaringkan gol penyamaan
ketika Red Giants seri 2-2 dengan Pahang pada perlawanan menarik di Shah Alam,
semalam.
Skuad Abdul Rahman Ibrahim
ketinggalan 2-1 ketika perlawanan berbaki kira-kira 15 minit tetapi tandukan
cantik pemain pertahanan itu hasil sepakan sudut Shamsul Amri Abu Bakar
menceriakan penyokong Selangor.
Rajinikandh juga meletakkan Merah
Kuning di depan menerusi sepakan penalti minit ke-20 tetapi Azmani Abd. Kadir
menyamakan kedudukan minit ke-44.
Ahmad Shahruddin Rosdi
menjaringkan gol kedua Pahang pada minit ke-65 sebelum gol penyamaan
Rajinikandh menyusul 10 minit kemudian.
Skuad bimbingan Abdul Rahman
Ibrahim terus berusaha menekan kesebelasan pasukan pelawat dan pada minit
ke-19, usaha kedua mereka berhasil.
Pemain pertahanan, Bahtiar Othman
ditarik Mudzar dalam kotak penalti selepas berjaya menewaskan penjaga gol itu
untuk mendapat sepakan penalti yang disempurnakan oleh Rajnikandh.
Azmani Abd. Kadir menyudahkan
peluang di depan mata pada minit 44 setelah menerima umpanan Ahmad Shahruddin
Rosdi dari sebelah kiri gawang Selangor untuk kedua-dua pasukan terikat 1-1
pada babak pertama.
Azmani berjaya melepasi bahagian
kiri dan membawa masuk bola ke kawasan penalti sebelum mengumpan leret ke
tengah kepada Khairul Anuar Karim tetapi penyerang itu yang hanya berdepan
dengan Hadi menyepak tepat ke dada penjaga gol itu.
Pahang menambah jaringan menerusi
rembatan Shahruddin dari luar kotak penalti sebelum Rajinikandh menyelamatkan
pasukannya untuk mengikat kedudukan 2-2 hingga tamat permainan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bZT1t3bb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan