ARKIB : 24/09/2000
PENYERANG kebangsaan, Rusdi Suparman menjaringkan empat gol ketika Selangor
membelasah Johor FC 6-0 pada perlawanan suku akhir pertama bola sepak Piala
Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.
Ia menjadi bekalan amat selesa buat Red Giants sebelum bertandang ke Johor
Bahru untuk perlawanan kedua, Selasa depan.
Rusdi menjaringkan gol pada minit keempat, 30, 58 dan 68 manakala satu gol
dijaringkan oleh pemain pertahanan, B. Rajinikandh menerusi tendangan penalti
minit ke-56. Pemain Johor FC, Hairy Azly Mahamad menjaringkan gol sendiri, gol
keenam Selangor.
Kegarangan Selangor terserlah pada babak awal permainan apabila tidak
menunggu masa membuka jaringan seawal minit keempat menerusi Rusdi yang
mengambil peluang daripada kesilapan pertahanan Johor FC di depan gawang hasil
hantaran ke tengah K. Sanbagamaram.
Rusdi sekali lagi membuktikan kejaguhannya di depan gawang apabila
menyumbat masuk gol kedua selepas setengah jam permainan menerusi rembatan padu
ke depan gawang selepas mendada cantik bola hantaran silang Assrof Hanafiah.
Biarpun Selangor menguasai permainan babak pertama, Johor FC masih mampu
melakukan asakan ke pintu gol Selangor dan Azmin Azram Aziz hampir tertewas
pada minit ke-15 apabila bola dakapannya terlepas tetapi Harun Laban yang
mendapat bola muntah itu gagal mengambil kesempatan yang menyaksikan bola
percubaannya terkena tiang gol kanan.
Rajinikandh tidak mensia-siakan sepakan penalti pada minit ke-56 untuk
melebarkan kedudukan 3-0 setelah Rusdi dijatuhkan oleh Norhapiza Bashari dalam
kotak penalti.
Rusdi bagaikan tidak memberi ruang langsung untuk barisan pertahanan Johor
mengemaskan kedudukan apabila menyumbat masuk gol keempat Selangor untuk
melengkapkan hatriknya dalam perlawanan itu dua minit kemudian sebelum
menjaringkan gol keempat peribadi dan kelima Selangor pada minit ke-68.
Dan Hairy Azly tidak berupaya mengekang asakan Selangor apabila bola
hantaran ke penjuru gawang pasukannya oleh Yusri disepak masuk ketika cuba
menghalang Sanbagamaran yang meluru ke depan.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi
Negeri Sembilan mempamerkan aksi hebat untuk mencatat kemenangan bergaya
4-1 ke atas Kelantan 4-1.
Skuad Rusa memulakan cabaran dengan aksi pantas sebaik wisel awal oleh
pengadil, Amir Sharifuddin Wong dari Perak.
Dua gol pasukan tuan rumah dalam tempoh 10 minit di separuh masa pertama
nyata menggamatkan stadium dengan sorakan kira-kira 10,000 penonton.
Negeri Sembilan tidak perlu menunggu lama untuk mendahului menerusi
jaringan penyerang berbisa, Azman Adnan pada minit keempat.
Chow Chee Weng menjadikan kedudukan 2-0 empat minit kemudian yang
menceriakan penyokong tuan rumah.
Skuad Kijang yang diketuai Cik Hisamuddin Hassan cuba bangkit, tetapi gagal
menyaingi tuan rumah di masa pertama.
Sebaliknya, Negeri Sembilan terus mengasak dan Wong Sai Kong menambah
jaringan Negeri Sembilan menerusi tendangan percuma yang gagal dijangkau
penjaga gol Kelantan, Shahrizan Ismail pada minit ke-50.
Gol keempat tuan rumah hasil tendangan penalti yang disempurnakan ketua
pasukan Khairul Anuar Baharom pada minit ke-55 selepas Azman dijatuhkan oleh
Shahrizan.
Kelantan mendapat gol sagu hati pada minit ke-89 menerusi Cik Hisamuddin
Di Stadium Sarawak Kuching
Pasukan tuan rumah terpaksa menunggu hingga ke minit 24 sebelum membolosi
gawang pasukan pelawat, Melaka ketika meraikan kemenangan 2-1.
Jaringan pertama oleh Zulkarnaen Mohd Poasa itu menyemarakkan semangat
rakan sepasukan, namun kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat babak pertama.
Sarawak menggandakan serangan di babak kedua dan memperoleh gol kedua
menerusi Ramles Sari pada minit ke-66.
Begitupun, serangan balas yang dilakukan oleh Melaka membuahkan hasil pada
minit ke-72 apabila K. Rajan menyumbat masuk bola untuk mendekatkan jurang,
tetapi sudah terlewat untuk menyekat Bujang Senang.
Di Stadium Bandaraya
Tuan rumah Pulau Pinang sekadar seri 1-1 dengan Perak, sekali gus membuka
ruang 50-50 bagi kedua-dua pasukan untuk saingan suku akhir kedua nanti.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b1TzckO1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan