Jumaat, 24 Mac 2017

Selangor curi kesempatan untuk menang selesa



ARKIB : 11/08/2002
PEMAIN Johor FC, Jonathan Angelucci (kiri) berebut bola dengan pemain NS Chempaka dalam perlawanan Kumpulan D bola sepak Piala Malaysia di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam. Johor FC menang 3-0. - Gambar ABDUL NAZIR MOHAMAD.

SELANGOR mengambil kesempatan daripada kepincangan Kelantan yang terpaksa bermain dengan sembilan orang untuk mencatat kemenangan selesa 4-1 pada perlawanan Kumpulan C, Piala Malaysia yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan di Stadium Sultan Mohammed IV, semalam.

Dengan menerima semula sentuhan Ken Worden, Selangor garang untuk mendahului pada minit ke-22 menerusi gol sendiri pemain Kelantan, Saifulnizam Hassan sebelum Mass Sarr menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-37.

Selepas dua pemain Kelantan dibuang padang, pasukan tuan rumah itu seperti mendapat semangat baru untuk menjaringkan gol menerusi Fatrurazi Rozi pada minit ke-42.

Tetapi dengan bermain sembilan orang, Kelantan jelas tidak bermaya sebaik memulakan babak kedua dan ini memberi ruang kepada Mohd. Amri Yahyah untuk menambah dua jaringan pada minit ke-46 dan 54.

Bagaimanapun selepas pemain Selangor, Tengku Azman Raja Hassan menerima kad kuning keduanya, Kelantan cuba bangkit tetapi pasukan pelawat ampuh bertahan hingga tamat permainan.

Kemenangan Selangor itu diikuti rapat pesaing terdekat dalam kumpulan yang sama, Public Bank Selangor yang menewaskan Perlis 2-1 di Stadium Utama, Kangar.

Kejayaan hasil jaringan Ivan Ziga pada minit ke-18 dan 81 itu bagaimanapun gagal memintas Selangor di tempat teratas kumpulan itu berikutan dipisahkan oleh perbezaan gol sahaja.

Gol tunggal Perlis dijaringkan Mohd. Zulfakri Ashaari pada minit ke-30.

Dalam saingan Kumpulan B, satu lagi pasukan kelab, MPPJ Selangor gagal mengejutkan juara bertahan, Terengganu apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Petaling Jaya.

Keputusan itu sekali gus mengekalkan kedudukan MPPJ di tempat kedua dalam kumpulan itu selepas satu lagi perlawanan turut menyaksikan Melaka dan Pulau Pinang turut mencatat keputusan seri 1-1 di Stadium Hang Tuah.

Bagaimanapun Melaka lebih awal mendahului pasukan pelawat itu menerusi jaringan Halim Jantan pada minit ke-18 sebelum Pulau Pinang menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti S. Nanthakumar pada minit ke-30.

Sementara itu, pasukan terbawah Kumpulan A, Sarawak bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut untuk menang ke atas Telekom Melaka 3-1 di Stadium Negeri, Kuching.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan Romeo Kambou pada minit ke-34 dan 48 serta Wong Sai Kong pada minit ke-76 manakala gol tunggal Telekom Melaka dijaringkan Isaac Kuffour pada minit ke-36.

Di Stadium Pasir Gudang, Johor FC kembali menghidupkan peluang dalam saingan Piala Malaysia selepas menewaskan NS Chempaka 3-0.

Pemain import Johor FC, Vincent Saroca menjaringkan dua gol pada minit ke-55 dan 63 manakala satu gol lagi dijaringkan Rezal Zamberi Yahya pada minit ke-58.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cFY9b8GX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan