ARKIB : 21/10/2002
JUARA 28 kali bola sepak Piala
Malaysia, Selangor menerajui dua lagi bekas juara, Perak dan Kedah mara ke
separuh akhir ketika harapan untuk menyaksikan pasukan kelab turut memberikan
saingan musnah di peringkat persaingan lapan pasukan kelmarin.
Selangor seperti mendapat nafas
baru dengan kehadiran Ken Worden, jurulatih sanjungannya.
Selangor mengetepikan satu lagi
bekas juara Piala Malaysia, Pahang dengan agregat 4-0.
Namun, laluan Selangor untuk ke
perlawanan akhir bukan mudah kerana akan berdepan dengan juara Perdana Dua,
Kedah yang dianggap paling menonjol tahun ini.
Juara dua tahun lepas, Perak pula
semakin hampir dengan gelaran juara berganda setelah menyingkirkan juara Piala
FA, Pulau Pinang dengan agregat 4-1.
Ini adalah kali ketiga
berturut-turut Pulau Pinang disekat di peringkat suku akhir.
Kini, hanya tinggal Sabah yang
akan mencabar penguasaan tiga bekas juara itu. Halangan mereka di separuh akhir
ialah juara Perdana Satu, Perak tetapi Sabah memiliki kelebihan apabila akan
bermain di Likas untuk separuh akhir pertama esok.
Sabah belum pernah muncul juara
Piala Malaysia. Rekod terbaik skuad dari Malaysia Timur itu ialah mara ke
separuh akhir dua tahun lepas setelah menyingkirkan penyandang juara ketika
itu, Terengganu.
Musim ini Sabah layak setelah
menyingkirkan pasukan kelab, Public Bank dengan agregat 3-2.
Sabah, yang menang 2-0 pada suku
akhir pertama di Likas, nyaris terheret ke permainan masa tambahan kelmarin,
tetapi mujur Shahrin Majid menolak masuk gol kemenangan pada minit ke-77.
Sebelum itu Public Bank
menyamakan kedudukan agregat 2-2 menerusi jaringan gol M. Chandran dan Paul
Raj.
Sementara itu, Kedah menghampakan
satu lagi kelab, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dengan agregat 7-2.
Skuad Kenari menang 5-1 di Alor Star dan kemudian 2-1 di Petaling Jaya.
Bagaimanapun, rekod pasukan kelab
tahun ini lebih baik apabila dua pasukan layak ke suku akhir berbanding hanya
Johor FC dua tahun lepas.
Kalau tahun lalu peringkat
separuh akhir dikuasai oleh tiga pasukan dari Pantai Timur, Terengganu,
Kelantan dan Pahang, musim ini menyaksikan perubahan.
Nampaknya angin Pantai Barat
lebih kencang tahun ini sehinggakan tiada satu pun wakil dari negeri di sebelah
Laut China Selatan mara.
Malah hanya Pahang yang bersaing
sehingga ke suku akhir sedangkan Terengganu yang meruapakan juara tahun lepas
dan Kelantan tersingkir di peringkat kumpulan lagi.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cNwy34D0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan