ARKIB : 17/01/2003
Oleh JOHARI SHAWAL
MENJULANG kejuaraan bola sepak
Piala Malaysia buat kali ke-29 November tahun lalu mungkin gah buat Selangor
tetapi tidak bagi beberapa pemain yang menganggotai skuad itu yang
menganggapnya sebagai satu detik hitam.
Utusan Malaysia difahamkan,
sebahagian besar bintang ternama skuad Red Giants meninggalkan pasukan juara
terbanyak Piala Malaysia itu kerana pihak pengurusannya tidak mengotakan apa
yang dijanjikan mereka selepas kejayaan itu.
Mereka bukan sahaja menerima
setengah gaji untuk bulan Disember yang hanya dibayar Rabu lalu, tetapi
mendakwa tidak langsung diberi habuan atau bonus yang dijanjikan selepas
Selangor merangkul piala paling berprestij itu.
Malah katanya, beberapa pemain
terus sahaja digugurkan daripada skuad selepas kejayaan itu yang memaksa mereka
mencari pasukan lain dan sebahagian pula meninggalkan pasukan.
``Mereka menabur janji akan
memberi sejumlah bonus kepada kami jika berjaya memenangi Piala Malaysia.
``Kami sudah melakukannya dan
mereka sudah mendapat piala itu. Tetapi sebaliknya berlaku, kami digugurkan
terus dan gaji kami pula diberi setengah bulan (untuk Disember).
``Kami ada keluarga dan
memerlukan wang untuk terus hidup,'' kata seorang daripada pemain berkenaan
yang enggan disiarkan nama.
Sementara itu, Timbalan Presiden
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad ketika dihubungi
semalam menegaskan, pemain boleh membuat aduan mengenai masalah mereka tetapi
harus menerusi saluran yang betul.
``Mereka boleh membuat aduan kepada
Jawatankuasa Status Pemain FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) jika tidak
berpuas hati. Kami percaya tindakan kami adalah mengikut peraturan dan
undang-undang,'' katanya.
Mokhtar bagaimanapun enggan
mengulas lanjut tetapi berkata akan membuat kenyataan penuh mengenai perkara
itu kemudian.
Empat pemain, penyerang veteran
Azman Adnan, Mohd. Aiman Wong dan dua tonggak import, Mass Sarr Jr. dan Ivica
Kulesevic digugurkan oleh pengurusan skuad itu sebaik Selangor menjulang Piala
Malaysia, 2 November lalu.
Beberapa lagi pemain yang
dikatakan tidak berpuas hati bertindak meninggalkan pasukan dan memilih negeri
lain untuk kempen 2003.
Pemain yang meninggalkan Selangor
dan bermain dengan pasukan lain musim ini ialah B. Rajinikandh, Azman, Aiman,
Lim Chan Yew dan penjaga gol, Azlisham Ibrahim.
Semua lima pemain itu telah
mengikat kontrak dengan Negeri Sembilan untuk musim 2003.
Tengku Hazman Raja Hassan, kapten
pasukan kebangsaan pada Piala Tiger lalu, memilih Perlis sebagai pasukan
barunya.
Sumber itu menambah, walaupun
kejayaan memenangi piala itu merupakan pencapaian peribadi mereka, tetapi untuk
lebih berterus-terang, mereka amat memerlukan wang yang dijanjikan.
``Lebih menyulitkan, pengurusan
pasukan tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak
November 2001 walaupun gaji kami dipotong setiap bulan,'' dakwanya.
Pemain berkenaan bagaimanapun
berterima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo
yang memberi bonus sebanyak RM5,000 kepada setiap pemain kerana kejayaan itu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cViV1D57
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan