ARKIB : 06/03/2003
Oleh Haradian Shah Hamdan
PELABURAN besar kelab Majlis
Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor musim ini mula menampakkan hasil
apabila mengungguli kedudukan teratas saingan Perdana Dua ketika ini.
Pengurusnya, Redzuan Sintol
berkata langkah berbelanja lebih berbanding musim lepas bertujuan memastikan
kelab itu mencapai sasaran layak ke Perdana Satu musim depan.
``Keputusan mengeluarkan
belanja besar bagi mendapatkan pemain import dan pemain senior ternyata tepat
kerana kami dapat membentuk pasukan yang lebih mantap kali ini,'' katanya.
Selepas empat perlawanan MPPJ
selangor kini berada di tangga teratas dengan sepuluh mata di depan beberapa
pasukan negeri seperti Johor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Kelab itu juga muncul sebagai
pasukan paling banyak membocorkan gawang lawan dengan 14 gol.
Katanya, ini merupakan cubaan
kali kedua kelab itu untuk beraksi dalam Perdana Satu selepas gagal
melakukannya tahun lalu.
Namun dalam masa yang sama,
Redzuan mengingatkan pemain supaya tidak terlalu yakin dan leka kerana
perjalanan liga masih di peringkat awal.
``Saya puas hati dengan
pencapaian dalam empat perlawanan setakat ini, tetapi saya mahu pemain-pemain
sentiasa menunjukkan persembahan cemerlang supaya kita dapat muncul antara dua
pasukan teratas Perdana Dua,'' jelasnya.
Persembahan cemerlang kelab itu
banyak dibantu oleh ketajaman penyudah dua pemain import dari Argentina, Juan
Manuel Arostegui dan Bruno Martelotto menghidu peluang di depan gol.
Juan Manuel paling menyerlah
dengan lapan gol daripada tiga perlawanan termasuk menyumbat lima gol ketika
membelasah Public Bank Selangor 7-2, selain hatrik ketika mengalahkan Polis
Diraja Malaysia 4-0.
``Keupayaan Juan Manuel memang
sudah diketahui apabila menjaringkan 17 gol musim lepas, walaupun hanya beraksi
pada pertengahan musim.
``Saya juga puas hati dengan
seorang lagi pemain import, Bruno, yang dapat menyesuaikan diri dan menunjukkan
permainan cemerlang,'' katanya lagi.
Dalam perlawanan seterusnya,
MPPJ Selangor akan bertemu Brunei di gelanggang sendiri Ahad ini.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ci8JB26M
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan