Isnin, 20 Mac 2017

Selangor menang tipis

ARKIB : 03/02/2002
SKUAD gergasi Lembah Klang, Selangor kembali meletakkan pasukan di tempat terhormatnya apabila memimpin Liga Perdana Satu biarpun mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka di Stadium Shah Alam, semalam.

Selepas menang 2-1 ke atas Terengganu untuk menjulang Piala Sumbangsih 19 Januari lalu sekali gus memungut tiga mata, Selangor memastikan kemenangan kedua menerusi jaringan Mohd. Amri Yahyah minit ke-....

Ketika Merah Kuning lega, juara bertahan Pulau Pinang ternyata terpaksa mengakui kehebatan Johor FC apabila kedua-dua pasukan sekadar berkongsi satu mata selepas perlawanan di Batu Kawan berakhir dengan seri 1-1.

Manakala juara Piala Malaysia, Terengganu mengalami kekalahan kedua berturut-turut, kali ini tewas 1-0 kepada lawannya pada pentas akhir Piala Malaysia tahun lalu, Perak di Ipoh.

NS Chempaka, antara dua pasukan kelab yang menonjol pada pembukaan kempen, bagaimanapun tewas 1-0 kepada Kuala Lumpur di Cheras.

Di Stadium Batu Kawan, Hasmawi Hassan menggembirakan penyokong tuan rumah dengan jaringan minit ke-20 hasil satu sepakan bebas dalam kotak penalti Johor FC.

Namun, pasukan kelab dari selatan itu tidak berputus asa mencari gol penyamaan yang akhirnya hadir menerusi percubaan jarak jauh Hairi Azly Mohamad pada minit ke-80.

Di Stadium Perak, Khalid Jamlus mengecewakan Terengganu apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-82.

Ia adalah kekalahan kedua Terengganu selepas tewas pada perlawanan pembukaan kepada Selangor.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, aksi hebat dipertontonkan oleh Negeri Sembilan dan Pahang yang berkesudahan seri 4-4.

Pasukan tuan rumah yang dimalukan oleh NS Chempaka pada perlawanan pertama Sabtu lalu, membuka jaringan pada minit ke-18 tetapi menerusi gol sendiri pemain Pahang, Shahril Faizal.

Tuan rumah menggandakan jaringan pada minit ke-23 hasil sepakan Zami Mohd. Noor sebelum Pahang merapatkan jurang pada minit ke-41 hasil jaringan Azizul Kamaluddin untuk menutup babak pertama dengan 2-1.

Shahril menebus maruah peribadi apabila menyamakan kedudukan pada babak kedua minit ke-63 sebelum pasukan pelawat buat pertama kali di depan pada minit ke-66 menerusi bintang importnya, Melnikov Viatcheslav.

Begitupun, Negeri Sembilan kembali bangkit pada sepuluh minit terakhir dengan dua gol jaringan K. Sathian (80) dan K. Rajan (82) untuk kembali mendahului 4-3.

Namun, skuad Rusa gagal memungut mata penuh apabila dikecewakan dengan jaringan penyamaan Viatcheslav dua minit sebelum tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu, Kelantan terpaksa menunggu sehingga minit ke-79 untuk menyamakan kedudukan 1-1 setelah ketinggalan kepada Perlis pada awal permainan.

Pasukan pelawat mengejutkan Kelantan menerusi jaringan seawal minit kesembilan oleh Mohd. Feriza Ismail sebelum Fatrurazi Rodzi menyelamatkan maruah Kelantan dengan jaringan penyamaannya.

Di Stadium KLFA, Cheras, Liew Kim Tu memastikan kemenangan pertama buat Kuala Lumpur menerusi jaringan minit ke-57 menewaskan NS Chempaka 1-0.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4brAjsG9e

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan