Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selangor dituntut
memperagakan aksi lebih daripada 100 peratus apabila turun berdepan T-Team pada
aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.
Perkara itu dinyatakan
pengendali pasukan K Gunalan yang mahu anak buahnya mencatat kemenangan besar
sekali gus membawa bekalan selesa menjelang aksi kedua di Kuala Terengganu pada
15 Oktober ini.
“Bermain dengan T-Team bukan
senang. Selepas menang bertemu PKNS, semangat pemain cukup tinggi dan sebagai
juara tahun lalu, pemain tahu apa yang perlu mereka lakukan.
“Mereka perlu beri komitmen
penuh dan fokus lebih 100 peratus bagi membolehkan kami mencapai kejayaan dalam
aksi itu nanti,” katanya, semalam.
Menurutnya, semangat anak
didiknya juga kian memuncak dalam memastikan kemenangan selesa berdasarkan
prestasi ditunjukkan ketika sesi latihan sejak kebelakangan ini.
“Meskipun bakal turun tanpa
Mauro Olivi dan Hafiz Kamal yang mengalami kecederaan, saya percaya itu bukan
masalah besar kerana pemain lain juga mampu menjalankan tugas dengan baik.
“Begitupun, pemain jangan
terlalu yakin sebaliknya perlu lebih berhati-hati. Pasukan seperti T-Team boleh
menjadi pengacau kepada kami untuk melangkah jauh.
“Mereka memiliki semangat juang
tinggi biarpun membariskan ramai pemain muda dan kurang ternama. Saya lihat
awang import mereka cukup bahaya terutama Makan Konate yang perlu diberi
perhatian,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 7:10 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan