RIZAL (dua kiri) miliki sejarah
gagal sepakan penalti sejak di Kelantan.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua watak bernama
Rizal menjadi tumpuan pada final Piala Malaysia kelmarin antara Kedah dan
Selangor namun kedua-duanya mempunyai cerita berbeza terutama ketika detik
penentuan penalti terakhir.
Rizal Ghazali iaitu pertahanan
Kedah dijulang sebagai wira kerana berjaya menyempurnakan sepakan penalti namun
pertahanan tengah Selangor, Rizal Fahmi Rosid berdepan situasi berbeza kerana
tugas yang diberi gagal disempurnakan.
Bagaimanapun, Rizal Fahmi tidak
mahu insiden itu melemahkan semangatnya untuk masa akan datang, sebagai seorang
pemain bola sepak profesional dia pasrah dengan kegagalan itu dan tidak serik
mengambil sepakan penalti jika diberikan tanggungjawab sekali lagi.
“Sejarah gagal menyempurnakan
sepakan penalti memang berlaku buat saya sejak bermain bersama Kelantan lagi.
Malam ini (kelmarin) sama juga namun sebagai seorang pemain bola sepak istilah
serik tidak ada dalam diri saya,” kata pemain berusia 30 tahun itu.
Rizal yang beraksi selama 120
minit mengakui berpuas hati dengan persembahan yang diberikan oleh rakan
sepasukan hingga mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
“Kami bermati-matian untuk cuba
mengekalkan trofi ini di bumi Selangor, namun ketika penentuan penalti ada antara
kami termasuk saya sendiri gagal menyempurnakan tugas yang diberikan.
“Memang ada sedikit perasaan
kecewa tapi inilah lumrah bola sepak,” kata pemain kelahiran Tumpat itu.
Dia yang pernah dipanggil
menyertai skuad kebangsaan mengakui Selangor layak dipuji walaupun tumpas
kerana mereka bukan kalah tanpa memberi tentangan sengit kepada lawan.
“Kami kalah melawan, semua
pemain sudah memberikan aksi 100 hingga 200 peratus. Kami juga sering berlatih
mengambil sepakan penalti namun apa boleh buat bukan rezeki kami,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Selasa, 1 November 2016 @ 6:21 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan