01 Oktober 2016 11:43 PM
Pemain Selangor, Ahmad Hazwan
Bakri (kiri) diasak pertahanan T-Team, Mohd Asrol Ibrahim (kanan) sewaktu
perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2016 di Stadium Shah Alam malam
tadi. Perlawanan berkesudahan dengan Selangor menewaskan T-Team 2-1. - BERNAMA
SHAH ALAM 1 Okt. - Juara
bertahan, Selangor sekadar meraih kelebihan satu gol selepas menang tipis 2-1
menentang T-Team pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah
Alam, malam tadi.
Pemain import dari Nigeria, Ugo
Ukah muncul wira skuad Gergasi Merah apabila menanduk masuk gol kemenangan
hasil hantaran Andik Vermansah pada minit ke-80.
Terdahulu, kedua-dua pasukan
terikat 1-1 dengan T-Team terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi
sepakan penalti yang disempurnakan Patrick Dos Santos pada minit ke-22.
Pengadil perlawanan, Syed Azhar
Syed Kamar memberikan sepakan penalti kepada T-Team selepas Muhd. Safawi Rasid
dikasari pertahanan Selangor, Mohd. Bunyamin Umar di dalam kotak penalti.
Tersentak dengan jaringan
berkenaan, Selangor kemudian melancarkan serangan bertali arus dan berjaya
meraih gol penyamaan pada masa kecederaan babak pertama perlawanan menerusi
pemain terbaik perlawanan, Ahmad Hazwan Bakri yang melepaskan rembatan kencang
daripada luar kotak penalti.
Kedua-dua pasukan akan bertemu
pada aksi separuh akhir kedua, 15 Okt. ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin
Shah di Kuala Terengganu.
Untuk rekod, naib juara musim
lepas, Kedah turut menang tipis 2-1 ke atas pasukan Polis Diraja Malaysia
(PDRM) pada satu lagi aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor
Setar, semalam. - BERNAMA
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/piala-malaysia-2016-selangor-tewaskan-t-team-2-1-1.389409#sthash.ksK0oLpo.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan