GUNALAN (tiga kanan) harap lima
pemain yang mewakili negara tidak cedera.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kecederaan yang
dialami pemain perancang Muhamad Nazmi Faiz Mansor sedikit menjejaskan
persiapan juara bertahan Selangor bagi menghadapi separuh akhir kedua Piala
Malaysia menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.
Pemain berusia 22 tahun itu
dijangka tidak dapat diturunkan jurulatih K Gunalan susulan kecederaan di
bahagian kepala yang dialami selepas terkena bola dalam aksi separuh akhir
pertama di Stadium Shah Alam, 1 Oktober lalu.
“Nazmi mengalami sedikit kecederaan
di bahagian kepala dan sehingga kini dia dalam situasi 70-30. Kita tidak pasti
sama ada dia dapat bermain pada separuh akhir kedua nanti.
“Dia pemain utama pasukan,
sudah pasti ia sedikit menjejaskan tapi saya akan memikirkan pemain lain untuk
menggantikan tempatnya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.
Berita itu pasti memberi
kelegaan buat T-Team yang mahu bangkit mengatasi defisit 1-2 di Shah Alam
sebelum ini.
Selain Nazmi, skuad Red Giants
juga dijangka terpaksa melupakan khidmat pemain import Mauro Olivi yang masih
menjalani proses pemulihan.
Gunalan juga mengharapkan agar
lima pemainnya yang bersama skuad kebangsaan bagi aksi menentang Afghanistan
dalam aksi persahabatan antarabangsa malam tadi tidak mengalami sebarang
kecederaan.
“Persiapan pasukan ketika ini
berjalan seperti biasa dan kami menunggu pemain yang bersama skuad kebangsaan
kembali berlatih. Saya harap mereka tidak mengalami kecederaan apabila kembali
bersama pasukan Rabu dan Khamis ini.
“Kami berdepan perlawanan penting,
ia bukan mudah kerana kami hanya membawa bekalan kemenangan 2-1 ke sana. Kami
tidak boleh bertahan sebaliknya kami perlu menyerang seperti yang kami pamerkan
dalam pertemuan sebelum ini,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 9:53 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan