Khamis, 30 Mac 2017

Selangor tanpa Nizaruddin



ARKIB : 01/04/2003
SELANGOR terpaksa membayar harga yang mahal bagi kemenangannya ke atas Pilihan Singapura, Sabtu lalu kerana tidak dapat menggunakan khidmat penyerangnya, Nizaruddin Yusof yang cedera bagi perlawanan bola sepak Perdana Satu menentang Perlis malam ini.

Menurut pemain itu, dia mengalami kecederaan pada kakinya selepas perlawanan dengan Pilihan Singapura dan tidak akan diturunkan dalam perlawanan dengan Perlis.

``Selepas perlawanan (menentang Pilihan Singapura) kaki saya sakit dan lama kelamaan membengkak,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam perlawanan merebut Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam tempohari, Nizaruddin menjadi pemain paling menyerlah apabila menyumbat dua gol untuk membenam cabaran pasukan singa selatan, 4-1.

Namun Selangor tidak dapat mengharap aksi serupa daripada pemain itu bagi menjinakkan pasukan singa utara, Perlis di Stadium Utama Kangar malam ini.

Nizaruddin nyata kecewa kerana tidak dapat bersama dalam misi menamatkan kemarau kemenangan yang dihadapi pasukan itu sejak Februari lalu.

``Saya benar-benar berharap dapat bermain esok (hari ini) tetapi apakan daya saya cedera,'' katanya yang tidak menyertai rakan-rakan sepasukan ke utara tanah air.

Dengan ketiadaan pemain itu bermakna Selangor terpaksa bergantung kepada Mass Sarr Jr, Rusdi Suparman, Farid Shah atau Rudie Ramli bagi menggempur kubu Perlis.

Selangor yang hanya mencatat satu kemenangan liga setakat ini dan berada di tangga ke-10 Perdana Satu, benar-benar memerlukan kemenangan bagi memperbaiki kedudukan tersebut.

Namun mereka akan berdepan tugas sukar menentang Perlis yang berada di tangga ketiga dan dianggap antara pasukan pilihan musim ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4coSXVbyW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 29 Mac 2017

Pelaburan MPPJ mula berhasil

ARKIB : 06/03/2003
Oleh Haradian Shah Hamdan
PELABURAN besar kelab Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor musim ini mula menampakkan hasil apabila mengungguli kedudukan teratas saingan Perdana Dua ketika ini.

Pengurusnya, Redzuan Sintol berkata langkah berbelanja lebih berbanding musim lepas bertujuan memastikan kelab itu mencapai sasaran layak ke Perdana Satu musim depan.

``Keputusan mengeluarkan belanja besar bagi mendapatkan pemain import dan pemain senior ternyata tepat kerana kami dapat membentuk pasukan yang lebih mantap kali ini,'' katanya.

Selepas empat perlawanan MPPJ selangor kini berada di tangga teratas dengan sepuluh mata di depan beberapa pasukan negeri seperti Johor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Kelab itu juga muncul sebagai pasukan paling banyak membocorkan gawang lawan dengan 14 gol.

Katanya, ini merupakan cubaan kali kedua kelab itu untuk beraksi dalam Perdana Satu selepas gagal melakukannya tahun lalu.

Namun dalam masa yang sama, Redzuan mengingatkan pemain supaya tidak terlalu yakin dan leka kerana perjalanan liga masih di peringkat awal.

``Saya puas hati dengan pencapaian dalam empat perlawanan setakat ini, tetapi saya mahu pemain-pemain sentiasa menunjukkan persembahan cemerlang supaya kita dapat muncul antara dua pasukan teratas Perdana Dua,'' jelasnya.

Persembahan cemerlang kelab itu banyak dibantu oleh ketajaman penyudah dua pemain import dari Argentina, Juan Manuel Arostegui dan Bruno Martelotto menghidu peluang di depan gol.

Juan Manuel paling menyerlah dengan lapan gol daripada tiga perlawanan termasuk menyumbat lima gol ketika membelasah Public Bank Selangor 7-2, selain hatrik ketika mengalahkan Polis Diraja Malaysia 4-0.

``Keupayaan Juan Manuel memang sudah diketahui apabila menjaringkan 17 gol musim lepas, walaupun hanya beraksi pada pertengahan musim.

``Saya juga puas hati dengan seorang lagi pemain import, Bruno, yang dapat menyesuaikan diri dan menunjukkan permainan cemerlang,'' katanya lagi.

Dalam perlawanan seterusnya, MPPJ Selangor akan bertemu Brunei di gelanggang sendiri Ahad ini.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ci8JB26M

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 27 Mac 2017

Selangor mungkir janji -- Bonus tidak dibayar -- Pemain digugurkan -- Setengah gaji Disember



ARKIB : 17/01/2003
Oleh JOHARI SHAWAL
MENJULANG kejuaraan bola sepak Piala Malaysia buat kali ke-29 November tahun lalu mungkin gah buat Selangor tetapi tidak bagi beberapa pemain yang menganggotai skuad itu yang menganggapnya sebagai satu detik hitam.

Utusan Malaysia difahamkan, sebahagian besar bintang ternama skuad Red Giants meninggalkan pasukan juara terbanyak Piala Malaysia itu kerana pihak pengurusannya tidak mengotakan apa yang dijanjikan mereka selepas kejayaan itu.

Mereka bukan sahaja menerima setengah gaji untuk bulan Disember yang hanya dibayar Rabu lalu, tetapi mendakwa tidak langsung diberi habuan atau bonus yang dijanjikan selepas Selangor merangkul piala paling berprestij itu.

Malah katanya, beberapa pemain terus sahaja digugurkan daripada skuad selepas kejayaan itu yang memaksa mereka mencari pasukan lain dan sebahagian pula meninggalkan pasukan.

``Mereka menabur janji akan memberi sejumlah bonus kepada kami jika berjaya memenangi Piala Malaysia.

``Kami sudah melakukannya dan mereka sudah mendapat piala itu. Tetapi sebaliknya berlaku, kami digugurkan terus dan gaji kami pula diberi setengah bulan (untuk Disember).

``Kami ada keluarga dan memerlukan wang untuk terus hidup,'' kata seorang daripada pemain berkenaan yang enggan disiarkan nama.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad ketika dihubungi semalam menegaskan, pemain boleh membuat aduan mengenai masalah mereka tetapi harus menerusi saluran yang betul.

``Mereka boleh membuat aduan kepada Jawatankuasa Status Pemain FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) jika tidak berpuas hati. Kami percaya tindakan kami adalah mengikut peraturan dan undang-undang,'' katanya.

Mokhtar bagaimanapun enggan mengulas lanjut tetapi berkata akan membuat kenyataan penuh mengenai perkara itu kemudian.

Empat pemain, penyerang veteran Azman Adnan, Mohd. Aiman Wong dan dua tonggak import, Mass Sarr Jr. dan Ivica Kulesevic digugurkan oleh pengurusan skuad itu sebaik Selangor menjulang Piala Malaysia, 2 November lalu.

Beberapa lagi pemain yang dikatakan tidak berpuas hati bertindak meninggalkan pasukan dan memilih negeri lain untuk kempen 2003.

Pemain yang meninggalkan Selangor dan bermain dengan pasukan lain musim ini ialah B. Rajinikandh, Azman, Aiman, Lim Chan Yew dan penjaga gol, Azlisham Ibrahim.

Semua lima pemain itu telah mengikat kontrak dengan Negeri Sembilan untuk musim 2003.

Tengku Hazman Raja Hassan, kapten pasukan kebangsaan pada Piala Tiger lalu, memilih Perlis sebagai pasukan barunya.

Sumber itu menambah, walaupun kejayaan memenangi piala itu merupakan pencapaian peribadi mereka, tetapi untuk lebih berterus-terang, mereka amat memerlukan wang yang dijanjikan.

``Lebih menyulitkan, pengurusan pasukan tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak November 2001 walaupun gaji kami dipotong setiap bulan,'' dakwanya.

Pemain berkenaan bagaimanapun berterima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang memberi bonus sebanyak RM5,000 kepada setiap pemain kerana kejayaan itu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cViV1D57
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 25 Mac 2017

Koleksi ke-29 untuk Selangor - Gol emas Amri pada minit ke-100 ketepikan impian skuad Sabah

ARKIB : 03/11/2002
 
PENYERANG Selangor, Azman Adnan menjulang Piala Malaysia yang dimenangi oleh Merah Kuning buat kali ke-29 sebaik menerimanya daripada Sultan Selangor selepas menewaskan Sabah 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. _ Gambar ABD. RAHMAN SALLEH.

Oleh JOHARI SHAWAL dan A. JAILANI ABDULLAH
GOL emas jaringan Mohd. Amri Yahyah pada masa tambahan sudden death menjulang Selangor selaku juara bola sepak Piala Malaysia buat kali ke-29 apabila rembatan kencangnya pada minit ke-100 membawa kemenangan buat skuad Merah Kuning menewaskan Sabah 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Penyerang berusia 21 tahun itu meledakkan sepakan berharga itu untuk memisahkan kedua-dua pasukan, setelah kedudukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat tempoh masa sebenar permainan.

Gol Amri hasil daripada satu serangan balas Selangor menerusi gandingan Mass Sarr Jr. dan Yusri Che Lah yang menyaksikan bola percubaan Mass Sarr ditampan keluar oleh pertahanan Sabah dan melantun kepada Amri yang melepaskan rembatan padu menewaskan penjaga gol Sabah, Khairul Azman Mohamad.

Kejayaan Selangor bimbingan jurulatih dari Australia, Ken Worden menamatkan penantian lima tahun skuad Gergasi Merah untuk merangkul piala berprestij ini, dan mengecewakan barisan Justin Ganai yang mengidam meraih kejuaraan sulung dalam pertandingan kebanggaan negara ini.

Pentas akhir Piala Malaysia yang menemukan Selangor dan Sabah semalam adalah kali kedua dalam sejarah pertandingan. Kedua-dua pasukan bertemu kali pertama pada 1996 yang dimenangi oleh Selangor.

Dalam babak permainan semalam, tempoh 45 minit separuh masa pertama nyata amat mendebarkan kira-kira 50,000 penonton stadium yang sebahagian besarnya dikuasai oleh penyokong Merah Kuning. Aksi kedua-dua pasukan bagaimanapun kurang teratur pada awal permainan kerana padang licin akibat hujan yang masih menyimbah semasa perlawanan berlangsung.

Begitupun, Selangor dan Sabah tidak kurang idea mempersembahkan kemahiran bermain dalam hujan yang membuatkan penonton sentiasa gegak gempita setiap kali serangan-serangan berbahaya dibuat.

Selangor lebih dulu mencuri tumpuan menerusi percubaan pertama pada minit ketiga. Bek kiri, Lim Chan Yew melepasi kawasan sebelah kanan Sabah dan melorongkan bola kepada Mass Sarr tetapi penyerang dari Liberia itu menyepak sipi setelah diasak Burhan Ajui

Dikejutkan dengan aksi hebat Sabah itu, Selangor bangkit memberi saingan tetapi peluang terbaik Selangor dipersia-siakan oleh Amri pada minit ke-30 apabila bola lorongan cantik Mass Sarr disepak liar oleh Amri di depan gawang Sabah.

Sabah sepatutnya sudah selesa di depan dengan dua gol sebelum waktu rehat apabila dua percubaan terbaik L. Suresh dinafikan oleh penjaga gol Selangor, Azmin Azram Aziz.

Azmin menepis percubaan kencang Suresh dari penjuru kanan kotak penaltinya dan bola yang melantun ke depan pantas dikeluarkan oleh pertahanan Selangor sebelum sempat Zainizam menyambarnya.

Azmin terpaksa bekerja keras sepanjang babak kedua. Dia sekali lagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi Sabah apabila melayangkan badan menepis tandukan tajam Suresh hasil sepakan sudut Shahril Arsat sebelum menyelamatkan satu lagi tandukan tajam Suharmin yang hanya berdepan dengannya pada minit ke-73.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan terus buntu untuk mencari gol sehingga masa penuh permainan tamat untuk memaksa masa tambahan sudden death yang lebih dikuasai Selangor.

Ivica Kulesevic menanduk kencang hantaran lintang Tengku Hazman Raja Hassan sebaik masa tambahan bermula tetapi bola yang menuju ke jaring sempat ditepis keluar oleh Khairul yang menyaksikan bola terkena tiang lalu melantun keluar.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cOfXa5V5© Utusan Melayu (M) Bhd