Sabtu, 27 Mei 2017

Impian Selangor belum berkubur



ARKIB : 23/03/2005

Oleh AMRAN MULUP
 PETALING JAYA - Impian Selangor untuk memburu gelaran Liga Perdana musim ini dan layak ke Liga Super musim depan masih belum berkubur sekali pun dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada MK Land Ahad lalu.

Kekalahan itu bagaikan sukar untuk diterima oleh Selangor yang dibarisi pemain elit apa lagi MK Land sebagai pasukan berstatus kelab memalitkan malu.

Biarpun begitu Selangor akur dan menerima dengan hati terbuka dengan kekalahan tersebut sambil menyifatkan betapa MK Land berhak menang pada perlawanan itu.

Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman berkata, semangat juang pemain masih belum terjejas ekoran kekalahan kepada MK Land.

``Tempoh saingan masih ada 14 perlawanan yang perlu diharungi dan kekalahan tersebut ada hikmah yang menuntut semua pemain perlu bangkit pada perlawanan selepas ini,'' ujar Satim ketika ditemui pada sesi latihan di padang Yayasan FAS di Kelana Jaya di sini, semalam.

Suasana sesi latihan Selangor yang dikendalikan oleh jurulatih Dollah Salleh tampak muram ketika sesi taklimat hampir setengah jam sebelum latihan untuk menyuntik semangat pemain Merah Kuning untuk menebus kekalahan tersebut Ahad ini.

Satim berkata, kekalahan itu belum menyulitkan laluan Selangor yang akan tetap mengotakan janji untuk menjulang Liga Perdana selain mendakap Piala Malaysia daripada genggaman Perlis.

Menurut beliau, baki perlawanan selepas menamatkan saingan pusingan pertama akan digunakan sepenuhnya oleh Selangor untuk memastikan langkah yang diatur tidak tersekat seperti mana yang dilakukan oleh MK Land.

``Semua pemain Selangor telah diingatkan untuk memberi tumpuan yang lebih dengan baki perlawanan yang ada dalam usaha memastikan Selangor tidak dimalukan lagi selepas ini,'' katanya.

Ekoran daripada kekalahan 2-3 itu menyaksikan Selangor melepaskan genggaman sebagai pendahulu Liga untuk dipintas oleh MK Land menamatkan saingan pusingan pertama.

Dalam pada itu, Satim mengakui ketiadaan empat pemain utama iaitu Nazrulerwan Makmor, Mohd. Shukor Adan, Ellie Aiboy dan Muhamad Khalid Jamlus punca kekalahan tersebut.

Nazrulerwan yang lebih dikenali dengan panggilan `badut' terpaksa diketepikan dalam perlawanan dengan MK Land dan Melaka kerana menjalani penggantungan dua perlawanan selepas dilayangkan kad merah sewaktu Selangor menang 3-2 ke atas Brunei sebelum ini.

Manakala tiga pemain lain pula ditimpa kecederaan yang memaksa Dollah mengetepikan mereka daripada berada dalam kesebelasan utama.

Malah pengurus Merah Kuning juga turut mengakui betapa kelemahan benteng pertahanan yang dikemudi oleh pemain import dari Australia, Badui Farah kurang ampuh untuk menyekat barisan serangan MK Land yang berjaya meledakkan tiga jaringan pemusnah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iKhYrWBm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan