Selasa, 30 Mei 2017

Untung nasib Selangor, Kedah malam ini



ARKIB : 12/06/2005

Oleh: AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR - Baki enam perlawanan Liga Perdana akan menjadi penentu buat Selangor dan Kedah dalam Kumpulan A manakala Negeri Sembilan serta Terengganu dalam Kumpulan B bagi mengisi dua tempat ke Liga Super musim depan.

Saingan yang bermula hari ini selepas berehat hampir dua minggu menjanjikan saingan paling sengit dan mendebarkan buat keempat-empat pasukan pilihan yang dilihat bakal mencabar untuk mengisi dua tempat tersebut.

Keempat-empat pasukan tersebut tidak mempunyai banyak pilihan selain memburu seberapa banyak mata bagi memastikan buruan beraksi ke Liga Super 2006 menjadi realiti.

Sukar untuk meramalkan untung nasib Selangor, Kedah, Negeri Sembilan dan Terengganu untuk mengisi dua tempat yang ditawarkan.

Perbezaan mata yang tidak jauh berbeza lebih merumitkan situasi, kekalahan sekadar mengundang musibah dan ketika ini tiga mata penuh amat berharga buat mengukuhkan kedudukan.

Saingan dalam Kumpulan A, melihat Selangor sedikit bernafas dengan kelebihan empat mata mengatasi Kedah di tempat kedua manakala MK Land pula dengan tujuh mata.

Selepas mengharungi 15 perlawanan, Selangor mengumpul 37 mata iaitu kelebihan empat mata mengatasi Kedah dengan 33 mata dan MK Land pula dengan 30 mata.

Jika Selangor mampu memenangi lima perlawanan, mereka akan mengumpul 52 mata dan kedudukan skuad Merah Kuning tidak tercabar sekalipun Kedah menang enam perlawanan sekadar mengutip 51 mata.

Bagaimanapun dalam bola sepak segalanya mungkin berlaku dan sukar untuk diramalkan.

Buat Selangor mereka perlu mengekalkan rentak cemerlang mereka yang diakui hebat dengan jentera serangan yang tepat membariskan Bambang Pamungkas, Brian Fuentes dan Muhammad Khalid Jamlus yang setakat ini sudah menghasilkan 49 gol daripada 15 perlawanan.

Bagaimanapun kesangsian di benteng pertahanan yang sering memeningkan kepala jurulatih Dollah Salleh perlu diatasi jika tidak, Selangor pasti akan berputih mata untuk layak ke Liga Super musim depan.

Selangor yang meletakkan sasaran untuk ke Liga Super musim ini akan bertemu TNB di tempat lawan.

Atas kertas dilihat Selangor mampu memastikan Selangor bakal pulang dengan tiga mata berharga malam ini.

Kedah pula dijangka tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan Melaka di tempat lawan bagaimanapun MK Land pastinya akan menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk membenam Brunei.

Manakala dalam perlawanan satu lagi, NTFA yang cuba untuk mempertahankan kedudukan kekal dalam Liga Perdana musim depan berdepan dengan Kuala Lumpur di Stadium Negeri Batu Kawan.

Saingan dalam Kumpulan B juga turut melihat betapa kedudukan pendahulu, Terengganu belum dianggap terselamat kerana mereka sekadar dipisahkan dengan satu mata dengan Negeri Sembilan di tempat kedua.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ichMZ2mf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan