ARKIB : 07/07/2005
SHAH ALAM - Selangor
mengesahkan kemaraan ke Liga Super musim depan selepas menewaskan Brunei 3-0
dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Kumpulan A di Stadium Shah Alam, malam
tadi.
Kemenangan itu memastikan
kedudukan Selangor utuh di tangga teratas Kumpulan A, memungut 50 mata untuk
mengiringi Negeri Sembilan daripada Kumpulan B yang lebih awal mengesahkan
kemaraan ke Liga Super untuk musim 2006.
Stadium Shah Alam yang kembali
menjadi gelanggang Merah Kuning selepas ditutup hampir dua bulan kerana
kerja-kerja membaik pulih membawa tuah kepada tuan rumah walaupun beraksi tanpa
Muhammad Khalid Jamlus, Mohd. Amri Yahyah, Nazrulerwan Makmor dan Ellie Aiboy.
Selangor yang akan membuat
penentuan dengan Negeri Sembilan bagi menentukan juara Liga Perdana musim 2005
pada 14 September ini, terpaksa menunggu hingga minit ke-46 untuk memperoleh
gol kemenangan yang dijaringkan oleh ketua pasukan, Muhammad Shukor Adan.
Selepas itu, Bambang yang
melakukan kesilapan apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit
ke-19 menebus kehampaan itu apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-75
manakala Brian Fuentes menjaringkan gol ketiga pada minit ke-87.
Anak didik Dollah Salleh itu
akan berdepan dengan MK Land di Stadium Selayang Ahad ini bagi menamatkan
saingan liga. Kalah tidak akan menjejaskan kedudukan Selangor ke Liga Super.
MK Land pula menundukkan Kuala
Lumpur 5-3 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sekadar untuk mengukuhkan
kedudukan mereka di tangga kedua.
Kemenangan itu memastikan MK
Land tidak dipintas oleh Kedah yang berpesta gol apabila menundukkan NTFA Pulau
Pinang 5-0 di Stadium Batu Kawan, Seberang Prai.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan
A, TNB Kelantan menundukkan Melaka 4-0 di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu
sekali gus menyingkirkan skuad bumi Hang Tuah ke Liga FAM musim depan.
Dalam aksi Kumpulan B, Negeri
Sembilan yang telah muncul juara dikejutkan dengan kekalahan 2-0 kepada PKNS
Selangor di Stadium Paroi, Seremban.
Kemenangan PKNS itu mengukuhkan
kedudukan di tangga kedua ketika pencabar terdekat, Terengganu tidak dapat
beraksi menentang Johor FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala
Terengganu akibat hujan lebat malam tadi. Perlawanan itu akan diteruskan pada
pukul 8 pagi ini.
Pasukan di tangga kelima, Perak
Jenderata pula menundukkan Polis 2-1 di Stadium TLDM, Lumut manakala Johor dan
Sarawak sekadar seri 2-2 di Stadium Larkin, Johor Bahru.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ihwWiFgw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan