ARKIB : 09/07/2005
KUALA LUMPUR - Selepas kejayaan
mara ke Liga Super musim depan, tumpuan kini untuk memastikan salah satu
kejuaraan iaitu Piala FA, Piala Malaysia atau Piala Liga Perdana menjadi milik
Selangor.
Tanpa mempedulikan pertemuan
dengan MK Land esok dalam perlawanan terakhir liga untuk melengkapkan jadual,
Selangor berhasrat untuk menjulang Piala Liga Perdana musim 2005 dalam misi
terdekat ini.
Pengurus Selangor, Datuk Satim
Diman berkata, fokus pemain kini diletakan untuk bertemu Kelantan di suku akhir
kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, Rabu ini.
``Selepas ini, Selangor
berdepan dengan Negeri Sembilan untuk menentukan juara Piala Liga Perdana 2005
pada 23 Julai ini,'' ujarnya di sini, semalam.
Menurutnya, kedua-dua misi itu
akan menjadi penentu hala tuju Selangor untuk mengharungi kempen Piala Malaysia
nanti.
Ujarnya, setakat ini Selangor
sekadar layak ke Liga Super 2006 tetapi belum mendakap sebarang gelaran.
Katanya, pertembungan dengan
Negeri Sembilan akan menjadi titik tolak buat Selangor untuk merangkul gelaran
Piala Liga Perdana 2005.
``Begitupun pertemuan dengan
Kelantan di suku akhir kedua Piala FA tidak boleh diabaikan dan kelebihan
bermain di gelanggang sendiri bakal menjadi suntikan,'' ujarnya.
Lebih melegakan buat Satim
dengan kehadiran semula empat tonggak utama, Muhammad Khalid Jamlus, Amri
Yahyah, Ellie Aiboy dan Nazrulerwan Makmor.
Katanya, Khalid yang
dilayangkan kad merah manakala Amri pula mengutip kad kuning kedua sewaktu menang
1-0 ke atas Kedah minggu lalu akan kembali beraksi bertemu Kelantan selepas
selesai menjalani penggantungan perlawanan.
Bagaimanapun, kata Satim, Aiboy
mungkin tidak dapat diturunkan dalam kesebelasan utama di suku akhir Piala FA
kerana belum pulih daripada kecederaan.
``Dia dijangka kembali beraksi
apabila bertemu Negeri Sembilan pada 23 Julai ini,'' ujarnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4iiTa3lCf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan