Rabu, 31 Mei 2017

Selangor sandarkan barisan terbaik



ARKIB : 22/06/2005

Oleh AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR - Selangor tetap akan menurunkan kesebelasan terbaik termasuk menyenaraikan Bambang Pamungkas, Brien Fuentes dan Ellie Aiboy pada saingan kedua Piala FA bertemu MK Land di Stadium Petaling Jaya malam ini.

Kemenangan 3-1 pada saingan pertama dan berbekalkan dua jaringan me-mbuatkan Selangor tidak berasa tertekan berdepan dengan MK Land untuk mara ke suku akhir.

Begitupun jurulatih Dollah Salleh tetap membayangkan kegelisahan jika pemain ditimpa kecederaan pada pertemuan dengan MK Land nanti.

Keadaan itu katanya, mungkin boleh menjejaskan kemantapan barisan utama Selangor bagi menghadapi baki empat perlawanan Liga Perdana yang akan menentukan untung nasib ke Liga Super musim depan.

``Perlawanan Piala FA penting dan pada masa yang sama baki empat perlawanan Liga Perdana juga penting saya cuma mengharapkan tidak ada pemain utama ditimpa kecederaan serius.

``Jika ini terjadi, ia akan memberikan tamparan hebat buat Selangor kerana dalam empat baki perlawanan Liga, tiga kita bermain di tempat lawan manakala satu lagi di gelanggang sendiri.

``Bagi saya tiga daripada empat perlawanan kita menang sudah cukup buat Selangor layak ke Liga Super musim depan,'' ujar Dollah di sini, semalam.

Sehubungan itu kata Dollah, beliau akan melihat keadaan tertentu sewaktu pertemuan Piala FA, jika terdesak dia tidak akan menyenaraikan beberapa pemain tertentu.

Walaupun berbekalkan dua gol dianggap selesa buat Selangor mara ke suku akhir Piala FA, Dollah menegaskan situasi itu tidak boleh dianggap mudah.

Ujarnya, dalam tempoh seminit macam-macam boleh berlaku apa lagi sepanjang 90 minit babak berlangsung, kealpaan seketika boleh membawa padah melihat Selangor tersingkir daripada ke suku akhir.

``Saya harapkan tidak ada pemain yang akan dilanda kecederaan serius,''ujarnya.

Mengulas mengenai empat baki perlawanan Liga Perdana kata Dollah, beliau meletakkan sasaran untuk menang tiga daripada empat perlawanan tersebut.

Selangor akan mengharungi tiga perlawanan di tempat lawan iaitu menentang NTFA (Ahad ini), Kedah (3 Julai) dan MK Land (10 Julai) manakala satu perlawanan di gelanggang sendiri bertemu Brunei (6 Julai).

Selangor masih kekal sebagai pendahulu Liga dengan 43 mata diikuti Kedah (39) dan MK Land (36).

Dollah mengakui betapa Kedah dan MK Land boleh menyekat hajat Selangor untuk layak ke Liga Super musim depan.

Sehubungan itu, beliau telah menasihatkan kesemua pemain bahawa kesemua perlawanan yang dilalui Selangor selepas ini amat penting untuk mengutip mata kemenangan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ifPHqgGR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan