ARKIB : 13/06/2005
KUALA LUMPUR - Selangor
melebarkan cengkaman untuk memburu tempat ke Liga Super musim depan apabila dua
gol menerusi Bambang Pamungkas dan Nazzab Hidzan memastikan skuad Merah Kuning
menggamit kemenangan berharga menewaskan TNB 2-1 dalam perlawanan bola sepak
Liga Perdana Kumpulan A di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV di Kota Bharu, semalam.
Kemenangan tersebut memastikan
Selangor mengumpul 40 mata dan masih kekal selaku pendahulu Liga Perdana
setakat ini.
Sekali lagi penyerang berbisa
Selangor, Bambang Pamungkas bertindak cemerlang meledakkan jaringan pertama
pada minit ke-33 dan Nazzab pula menambah gol kedua pada minit ke-51.
Gol saguhati TNB pula
dijaringkan oleh Armin Shariff pada minit ke-89.
Di Stadium Selayang pula,
Marlon Alex James memahatkan sejarah bola sepak Liga Malaysia apabila dia
menjadi satu-satunya pemain yang berjaya menjaringkan keenam-enam gol MK Land
yang berpesta gol menewaskan Brunei 6-1.
Kemenangan paling bergaya milik
MK Land merapatkan lagi kedudukan mereka untuk mencabar kedudukan Selangor
selaku pendahulu liga mengumpul 33 mata.
Di Stadium Hang Tuah, Kedah
turut meraih tiga mata berharga bagi merapati pendahulu Selangor apabila
mencapai kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka.
Kemenangan membawa pulang tiga
mata berharga mengekalkan kedudukan Kedah di tangga kedua liga dengan 37 mata
dipisahkan dengan empat mata berbanding Selangor.
Di Stadium Negeri Batu Kawan,
NTFA berjaya mengikat skuad Kuala Lumpur dengan keputusan seri 1-1.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi pula, Negeri Sembilan merampas kedudukan selaku pendahulu Liga Kumpulan B
daripada genggaman Terengganu selepas menumpaskan Johor 1-0.
Kemenangan itu cukup melegakan
buat Negeri Sembilan ketika Terengganu menerima kejutan tewas mengejut 1-2
kepada Jenderata di Stadium TLDM, Lumut.
Negeri Sembilan mengumpul 37
mata berbanding Terengganu sekadar 35 mata.
Gol tunggal Negeri Sembilan
dijaringkan oleh penyerang import Christian Bekamenga dari Cameroon pada minit
ke-29.
Di Stadium TLDM, Lumut
Jenderata melakukan kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan untuk ke Liga
Super musim depan Terengganu dengan kemenangan 2-1.
Di Stadium Sarawak, Johor FC
menewaskan Sarawak 1-0 dengan gol tunggal dijaringkan oleh Richard Luksic pada
minit ke-63.
Di Padang UiTM, Shah Alam pula,
PKNS mengutip tiga mata berharga apabila mudah menewaskan Polis 2-1.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4icj82OxJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan