Selasa, 30 Mei 2017

Selangor geram Nazrulerwan cedera



ARKIB : 30/05/2005

Oleh AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR - Selangor tersentak mendapat khabar buruk apabila pemain pertahanannya, Nazrulerwan Makmor terpaksa menjalani pembedahan di pergelangan kaki kiri selepas cedera sewaktu menjalani latihan dengan skuad kebangsaan.

Nazrulerwan adalah antara 11 pemain kebangsaan yang dalam persiapan menghadapi dua perlawanan persahabatan dengan Singapura terpaksa digugurkan oleh jurulatih Bertalan Bicskei, baru-baru ini.

Nazrulerwan kini dimasukkan Hospital Pakar Damansara.

Jurulatih Dollah Salleh jelas kecewa mendapat khabar itu dan tidak menyangka anak didiknya terpaksa menjalani pembedahan.

Menurutnya, jika Nazrulerwan terpaksa menjalani pembedahan, Selangor berdepan dengan masalah besar kehilangan tonggak benteng.

Ujarnya, tanpa pemain itu Selangor jelas pincang dalam misi paling penting mengharungi enam baki perlawanan Liga Perdana untuk menentukan tempat skuad Merah Kuning ke Liga Super 2006.

``Nazrulerwan menelefon saya dan memberitahu dia terpaksa menjalani pembedahan atas nasihat doktor.

``Saya tak tahu macam mana dia (Nazrulerwan) menjalani latihan dengan skuad kebangsaan hingga mengalami kecederaan serius.

``Ini mungkin nak berlaku tapi keras sangat ke latihan dengan skuad kebangsaan?,'' ujar Dollah ketika dihubungi di sini, semalam.

Walau apapun jurulatih Selangor itu akan berjumpa dengan doktor yang merawat Nazrulerwan untuk mendapat kepastian sama ada pemain itu perlu menjalani latihan.

``Saya memang risau sebab dia adalah tonggak pertahanan dan sejak tiga perlawanan lalu benteng Selangor beraksi cemerlang.

``Tanpa dia, sudah pasti akan menjejaskan percaturan kesebelasan utama saya untuk mengharungi baki enam perlawanan yang akan menentukan peluang Selangor layak ke Liga Super 2006,'' ujarnya lagi.

Selangor mendahului Liga Perdana Kumpulan A dengan dengan 37 mata diikuti oleh Kedah (33) di tempat kedua, dan MK Land (30) di tempat ketiga. Dua pasukan itu adalah pencabar utama Selangor.

Dalam pada itu, pemain Selangor akan kembali menjalani latihan bermula hari ini selepas diberi cuti rehat selama seminggu.

Kata Dollah, persiapan kali ini lebih serius memandangkan Selangor perlu memenangi ke semua baki enam perlawanan bagi memastikan tempat ke Liga Super musim depan menjadi kenyataan.

``Setiap perlawanan selepas ini amat penting bagi pemain memberikan tumpuan saya tidak peduli berdepan dengan Kedah atau MK Land, yang penting saya mahu kemenangan,'' ujarnya.

Ujarnya, di samping menjalani latihan pagi dan petang, Selangor akan mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang MPPJ pada 4 Jun manakala Shahzan Muda pada 7 Jun.

``Dua perlawanan itu akan menentukan kemampuan sebenar Selangor untuk memberi tumpuan bagi baki enam perlawanan lagi,'' ujarnya.

Tumpuan Dollah sepanjang dua minggu latihan adalah mewujudkan persefahaman lebih mantap khususnya di bahagian pertahanan.

Berdasarkan kemenangan Selangor 3-1 ke atas pilihan Singapura pada kejohanan Piala Sultan Selangor Dollah tampak ceria dengan kelibat Bambang Pamungkas yang turut meledakkan dua jaringan cantik.

Ujarnya, jika prestasi Selangor itu dapat dikekalkan tidak ada masalah untuk skuad Merah Kuning menang kesemua enam perlawanan tersebut.

Selangor akan mengharungi perlawanan kedua pusingan ketiga menentang TNB pada 12 Jun di Stadium Sultan Mohd Ke-IV.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4iZWXdnX5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan