Sabtu, 27 Mei 2017

MK Land malukan Selangor



ARKIB : 21/03/2005

KUALA LUMPUR - Rekod tanpa kalah Selangor dalam enam perlawanan lebur apabila tewas mengejut 2-3 kepada MK Land dalam perlawanan menarik Liga Perdana Kumpulan A di Stadium Shah Alam semalam.

Kekalahan tersebut melihat Selangor buat pertama kali melepaskan genggaman selaku pendahulu liga kepada MK Land untuk berada di tangga teratas liga dengan 17 mata menamatkan saingan pusingan pertama.

Dua jaringan Selangor menerusi Brian Fuentes (m-17, m-75) tidak mampu memadamkan kelebihan milik MK Land yang meledakkan tiga jaringan menerusi Marlon Alex James (m-46, m-53) dan Ooi Hoe Guan (m-65) untuk memahatkan kemenangan paling bermakna.

Di Stadium Darul Aman pula, Kedah hampa selepas hanya mampu seri 2-2 ketika bertemu Brunei.

Mendahului selesa dengan dua gol menerusi Gabriel Mendez seawal minit pertama dan Samuel Shandel tiga minit selepas itu.

Brunei berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Rosimi Kahar (m-68) dan Ferid Idrizovir (m-78) untuk mengikat Kedah dengan keputusan seri.

Di Stadium KLFA pula, Kuala Lumpur tidak menghadapi masalah untuk mencapai kemenangan mudah apabila menewaskan Melaka 3-0.

Di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, TNB berjaya meraih mata pertama apabila sekadar seri 1-1 dengan NTFA.

Sementara itu dalam Kumpulan B pula, Negeri Sembilan menerima kejutan apabila tewas mengejut kepada wakil kelab dari Perak, Jenderata 2-3 di Stadium TLDM, Lumut.

Kekalahan tersebut melihat Negeri Sembilan melepaskan genggaman selaku pendahulu apabila Terengganu mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Md. Noorfarhan Mohamad muncul hero gol tunggal jaringannya membantu kemenangan Terengganu untuk memintas N. Sembilan sebagai pendahulu dengan 16 mata.

Kekalahan kedua N. Sembilan menyaksikan mereka memungut 15 mata.

Di Stadium Larkin pula, Johor mencatat kemenangan selesa apabila menewaskan PDRM 3-1.

Manakala di Stadium Petaling Jaya pula, Roman Chamelo muncul hero menjaringkan kedua-dua gol membantu PKNS menewaskan Johor FC 2-0.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4iKKjFLm2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan