Ahad, 7 Mei 2017

Khir yakin `Selangor Boleh!'

ARKIB : 05/02/2005
SHAH ALAM - Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yakin kemampuan Selangor untuk mengungguli saingan Liga Perdana Kumpulan A dan merampas kembali Piala Malaysia daripada genggaman Perlis.
Mohamad Khir berkata, berdasarkan barisan pemain tempatan import, jurulatih dan persiapan rapi yang dijalankan tiada sebab Selangor tidak mampu merealitikan impian tersebut.
``Saya anggap pasukan Selangor musim ini adalah pasukan terbaik berbanding dengan pasukan-pasukan lain dan tidak mustahil buat pemain memastikan impian yang disasarkan menjadi kenyataan.
``Setakat ini, saya berpuas hati dengan kualiti pemain tempatan dan import serta persiapan rapi yang diadakan di bawah bimbingan jurulatih Dollah Salleh,'' ujarnya.
Mohamad Khir menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas majlis minum pagi dengan pegawai FAS, pemain skuad Merah Kuning di kediaman rasmi beliau di sini, semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengurus pasukan, Datuk Satim Diman; Naib Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad serta barisan pemain skuad liga simpanan.
Skuad Merah Kuning dianggap sebagai pasukan pilihan untuk mengungguli saingan Liga Perdana Kumpulan A dan sekali gus menempah tempat ke Liga Super musim depan.
Reputasi Selangor musim ini membariskan pasukan terkuat dengan kehadiran dua bintang import dari Indonesia, Bambang Pamungkas dan Alie Aiboy selain penjaring terbanyak musim lalu, Brian Fuentes.
Di samping itu juga, barisan pemain tempatan juga turut digeruni yang sebahagian besar daripada mereka menyarung jersi kebangsaan seperti Muhammad Khalid Jamlus, Mohd. Amri Yahyah, D. Surendran, Leong Hong Seng dan Ahmad Tarmini Saiban.
Berdasarkan reputasi tersebut Mohamad Khir begitu yakin betapa anak didik Dollah Salleh mampu mencapai kemenangan dalam semua perlawanan liga yang diharungi bermula esok.
``Bagi saya tiada sebab mengapa kita tidak boleh menang semua perlawanan liga, tengok pemain yang Selangor ada sekarang jauh lebih bertenaga,'' ujarnya.
Selain memburu kemenangan kata Presiden FAS itu, beliau turut menuntut barisan pemain mempamerkan kualiti permainan yang bermutu tinggi.
``Kita akan menang kalau kita fikiran sebagai pemenang,'' tambahnya lagi.
Sementara itu Satim berkata, Selangor sudah bersedia untuk menyahut cabaran Presiden FAS yang mahukan skuad Merah Kuning mengungguli Liga Perdana Kumpulan A dan membawa pulang Piala Malaysia.
Menurutnya, reputasi Selangor kini di tahap yang begitu membanggakan dan sudah bersedia untuk mengharungi saingan musim ini.
``Berdasarkan sesi latihan yang diadakan di Perth, Australia minggu lalu, jelas membuktikan betapa Selangor adalah sebuah pasukan yang serba mantap dan ampuh,'' ujarnya.
Pada sesi latihan tersebut Selangor menewaskan Perth Soccer Club 3-0, Stirling Lions FC 2-0 dan tumpas 1-2 kepada Sorento FC.
Mengulas mengenai pertemuan pertama Selangor bertemu Melaka di tempat lawan esok, Satim begitu yakin skuad Merah Kuning mampu mengutip tiga mata berharga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan