ARKIB : 27/06/2005
KUALA LUMPUR - Kesempatan untuk
menjarakkan diri lebih jauh sebagai pendahulu tidak kesampaian sebaliknya
Selangor lega dengan keputusan seri 2-2 bertemu NTFA dalam perlawanan bola
sepak Liga Perdana Kumpulan A di Stadium Negeri Batu Kawan di Pulau Pinang,
semalam.
Sekadar mengutip satu mata
tidak menjejaskan kedudukan Selangor yang masih kekal di tangga teratas dan
turut lega apabila saingan terdekat Kedah turut seri tanpa jaringan bertemu
Kuala Lumpur.
Keputusan itu tidak menjejaskan
peluang Selangor untuk memburu tempat ke Liga Super musim depan dengan baki
tiga perlawanan yang perlu dilalui selepas ini.
NTFA mengejutkan Selangor
apabila pemain tuan rumah, Rosli Azizan meledakkan jaringan pada minit ke-35.
Bagaimanapun, Bambang Pamungkas
berjaya menyamakan kedudukan buat Selangor dengan jaringannya pada minit ke-62.
Lapan minit selepas itu,
Muhammad Khalid Jamlus meletakan Selangor di depan dengan jaringan pada minit
ke-70 tetapi NTFA berjaya menyamakan kedudukan 2-2 hasil jaringan Darlington
Ogbonna pada minit ke-85.
Di Stadium Hang Tuah, MK Land bertindak
cemerlang apabila menewaskan Melaka 3-2. Kemenangan tersebut terus
memperkukuhkan kedudukan MK Land memungut 39 mata untuk mengekori rapat
Selangor sebagai pendahulu.
Di Stadium Bola Sepak Kuala
Lumpur, Kedah gagal mencuri kesempatan untuk mengutip tiga mata berharga
selepas hanya seri 0-0 berdepan dengan Kuala Lumpur.
Keputusan itu tidak merubah
kedudukan Kedah untuk berada di tangga kedua di belakang Selangor.
Di Stadium Negara Hasanal
Bolkiah, TNB memahatkan kemenangan manis apabila menewaskan Brunei 3-1.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman
Paroi, Negeri Sembilan terus memperkukuhkan kedudukan untuk layak ke Liga Super
musim ini apabila mencapai kemenangan tipis menewaskan Terengganu 2-1 dalam
perlawanan Kumpulan B.
K. Rajan membuka tirai jaringan
pertama pasukan tuan rumah seawal minit keempat tetapi Terengganu menerusi
Norizam Ali Hassan menyamakan kedudukan 1-1 seminit sebelum rehat. Gol
kemenangan Negeri Sembilan dijaringkan oleh Christian Bekamenga menerusi sepakan
penalti pada minit ke-55.
Di Stadium Larkin, PKNS
memintas Terengganu untuk berada di tangga kedua apabila bertindak cemerlang
menewaskan Johor 2-0.
Kemenangan itu memastikan PKNS
mengutip 37 mata daripada 18 perlawanan manakala Terengganu yang tewas 1-2
kepada Negeri Sembilan di tangga ketiga dengan 36 mata.
Di Stadium TLDM Lumut,
Jenderata mencuri tiga mata berharga apabila mudah menewaskan Johor FC 2-0.
Di Padang UiTM Shah Alam pula,
Polis melakukan kejutan terbesar apabila menewaskan Sarawak 3-1.
Kemenangan itu bagaimanapun
tidak merubah kedudukan Polis untuk kekal menghuni tangga terbawah liga.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ifdfwkHT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan