Isnin, 29 Mei 2017

Selangor kekal di puncak



ARKIB : 16/05/2005

Penyerang Pahang, Bernard Samuel Tchoutang (kiri) diasak oleh pemain pertahanan Perak, Marian Juhas pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi. Pahang menang 4-1.

KUALA LUMPUR - Bambang Pamungkas muncul hero Selangor apabila menjaringkan gol kemenangan bagi membantu pasukannya menewaskan MK Land 3-2 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Selayang di sini, semalam.

Kemenangan manis milik Selangor itu menebus semula kekalahan yang dipalitkan oleh MK Land dengan jaringan yang sama pada 20 Mac lalu di Stadium Shah Alam.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada satu ketika dan gol kemenangan Selangor muncul menerusi Bambang yang mudah menolak masuk hantaran Ellie Aiboy pada minit ke-74.

Bagaimanapun, MK Land lebih awal mengejutkan pelawat seawal minit kedua menerusi jaringan S. Paidiya Rau tetapi Bambang menyamakan kedudukan seminit selepas itu.

MK Land kembali mendahului menerusi penyerang utamanya Marlon Alex James pada minit kesembilan dan Shukor Adan menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-74.

Di Stadium Negara Hasanal Bolkiah, Brunei berjaya menyekat Kedah daripada pulang membawa tiga mata berharga apabila seri 1-1.

Di Stadium Hang Tuah, Melaka gagal menggunakan peluang bermain di gelanggang sendiri apabila tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur.

Gol kemenangan Kuala Lumpur dijaringkan menerusi tandukan Azlan Hussin pada minit ke-43.

Di Stadium Negeri, Batu Kawan, TNB bertindak cemerlang apabila mudah menewaskan tuan rumah NTFA 3-1 sekali gus melonjakkan diri daripada tangga tercorot.

Sementara itu, dalam perlawanan Kumpulan B, Terengganu mengukuhkan kedudukan tangga teratas apabila mudah mengenepikan tuan rumah Sarawak menerusi kemenangan 3-1 di Stadium Sarawak.

Kemenangan milik Terengganu memastikan mereka memungut 32 mata.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan turut memahat kemenangan bergaya apabila mudah membelasah Jenderata 4-0.

Negeri Sembilan kini menduduki tangga kedua dengan 31 mata, sekadar satu mata dipisahkan dengan Terengganu.

Di Stadium Jcorp Pasir Gudang, tuan rumah Johor FC tidak mensia-siakan peluang bermain di gelanggang sendiri apabila mencapai kemenangan tipis 1-0 ke atas PKNS.

Di Padang UiTM Shah Alam, Johor seperti yang diramalkan mudah menewaskan Polis menerusi kemenangan 2-0.

Dalam perlawanan Liga Super pula, Bernard Samuel Tchoutang muncul wira membantu Pahang menewaskan Perak 4-1 di Stadium Darul Makmur.

Lebih manis kesemua gol-gol Pahang dijaringkan oleh Tchoutang pada minit ke-19, 33, 51 dan 79). Manakala gol saguhati Perak dijaringkan oleh Abdoulaye Troare pada minit ke-36.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iUDXIKPB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan