Sabtu, 27 Mei 2017

Selangor kembali teratas



ARKIB : 29/03/2005

SHAH ALAM - Dua jaringan penyerang import, Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes serta satu menerusi Mohd. Haris Safwan memastikan Selangor merampas semula kedudukan tangga teratas Liga Perdana Kumpulan A dari tangan MK Land apabila menang 3-0 ke atas Melaka di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan yang sudah dijangkakan itu bagaimanapun dibayangi oleh kekacauan yang ditimbulkan oleh peminat yang bertindak liar membaling bekas minuman, memecahkan cermin, merosakkan bangku dan membaling mercun sejurus aksi kedua-dua pasukan itu kelmarin ditunda akibat hujan.

Perlawanan yang diadakan semula semalam terkawal dengan kehadiran anggota keselamatan mengawal 15,000 penonton di stadium.

Ia bagaimanapun terpaksa dilangsungkan lewat 15 minit kerana kerja-kerja mengepam air keluar dari padang masih dilakukan.

Kemenangan menewaskan Melaka itu membolehkan Selangor kembali merampas kedudukan tangga teratas dengan mengumpul 19 mata iaitu seminggu selepas MK Land mengejutkan pasukan bergelar Red Giants 3-2 minggu lalu.

Kekalahan MK Land 3-2 kepada Kedah di Stadium Darul Aman kelmarin bagaimanapun membuka ruang buat skuad Merah Kuning kembali ke singgahsana liga, dua mata di atas MK Land.

Bambang membuka tirai jaringan pada minit ke-20 apabila menyepak masuk di depan pintu gol setelah menerima umpanan cantik.

Ketika Melaka kelihatan mampu bertahan dengan kedudukan itu, Selangor tidak berpuas hati dan Fuentes menjadikan kedudukan 2-0 menerusi percubaan mudah dan Haris Safwan menambah gol ketiga Selangor pada minit-minit terakhir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iKp7s9H5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan