Jumaat, 26 Mei 2017

Merah Kuning terus menyala



ARKIB : 28/02/2005

KUALA LUMPUR - Selangor memperkukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana Kumpulan A setelah menepati ramalan mudah menundukkan NTFA Pulau Pinang 4-1 di Stadium Shah Alam semalam.

Biarpun menerima kejutan awal dengan gol pendahuluan NTFA menerusi percubaan Cheah Kean Seng ketika permainan berusia enam minit, pengalaman barisan skuad Merah Kuning tangkas memadamkan gol tersebut untuk mengungguli aksi sepanjang 90 minit babak berlangsung.

Gol-gol yang dijaringkan oleh Muhammad Khalid Jamlus (m-27), K. Sanbagamaran (m-35), Brian Fuentes (m-57) dan Bambang Pamungkas (m-61) berjaya memahatkan kemenangan keempat berturut-turut buat Selangor melebarkan cengkaman mengungguli Kumpulan A dengan 12 mata.

Naib juara Piala Malaysia 2004, Kedah pula sekadar seri 0-0 dengan Kuala Lumpur yang bermain dengan 10 orang pada babak kedua di Stadium Darulaman, Alor Star setelah penjaga golnya, Saiful Amar Sudar dibuang padang pada minit ke 43.

Saiful dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Perak, Idzhar Salim pada minit ke 43 selepas mengasari penyerang import tuan rumah, Shandel Bobbie Jo Samuel.

Pemain Kedah, Lim Keat Kong, Shandel Samuel dan Fauzi Nan mempunyai ruang untuk menjaringkan gol pada lewat permainan tetapi pertahanan Kuala Lumpur agak mantap untuk dibolosi. Kedah akan bertemui NTFA Pulau Pinang pada 13 Mac ini.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang MK Land Selangor mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Melaka sekali gus memintas Kedah untuk menduduki tangga kedua dengan 10 mata.

MK Land memperoleh gol menerusi jaringan Md. Noor Deros pada minit ke-15 dan dua gol menerusi pemain import dari Slovakia Marcel Horky pada minit ke-29 dan 56.

Sementara gol Melaka dijaringkan oleh Julio Cesar Ramires pada minit ke-16 dan Muhamad Safri Amit pada minit ke-68.

Brunei pula berpesta gol apabila menewaskan TNB Kelantan 4-0 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu mencatat kemenangan tipis apabila menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dalam persaingan Kumpulan B.

Hantaran Rosairil Asrul Md. Noor ditolak masuk oleh Sapian Wahid untuk gol tunggal pada minit ke-52, sekali gus menghadiahkan kekalahan pertama buat Negeri Sembilan. Kemenangan itu sekali gus membantu Terengganu memperoleh sembilan mata selepas empat perlawanan, ketinggalan kepada Negeri Sembilan hanya dari jumlah jaringan.

PKNS Selangor pula mencatat kemenangan kedua apabila menewaskan Johor 2-0 di Stadium Petaling Jaya.

Pemain import dari Slovakia, Roman Chmelo membuka tirai jaringan pada minit ke-68 manakala pemain gantian, Rudie Ramli menghasilkan gol minit ke-87.

Kemenangan tersebut menyaksikan PKNS mengutip tujuh mata selepas menang dua kali, seri sekali dan tewas sekali.

Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Johor FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Jenderata Perak.

Di Stadium Sarawak, Kuching, Sarawak juga terikat 0-0 dengan Polis.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iAkNjFVi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan