ARKIB : 04/05/2005
Oleh: AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR - Kedudukan
Selangor masih belum terdesak walaupun tumpas 1-4 kepada Kedah selain terpaksa
melepaskan genggaman takhta pendahulu Liga Perdana Kumpulan A kepada MK Land.
Kegagalan itu belum menutup
impian yang dipasang oleh Selangor untuk menjulang kejuaraan liga Kumpulan dan
sekali gus layak ke Liga Super musim depan.
Kekalahan itu menjadi
pengajaran terbaik kepada pemain untuk bangkit dengan baki perlawanan yang
perlu diharungi selepas ini untuk memastikan Selangor tidak kecewa memperoleh
tiga mata berharga.
Sebaliknya, Selangor mengakui
betapa benteng pertahanan yang tidak mantap menjadi punca pihak lawan mudah
menembusi gawang dalam setiap perlawanan yang dilalui.
Pengurusnya, Datuk Satim Diman
berkata, Selangor dijangka merombak strategi baru di bahagian pertahanan bagi
menyekat gol demi gol membolosi benteng skuad itu.
``Saya akui kelemahan benteng
menjadi punca kekalahan Selangor tetapi kita dalam proses menutup semua
kelemahan tersebut.
``Bagi saya dalam Kumpulan A,
masih belum ada pasukan yang benar-benar menonjol sebaliknya prestasi Selangor,
Kedah dan MK Land masih berada pada tahap yang sama,'' ujarnya ketika dihubungi
di sini, semalam.
Sehubungan itu, kata Satim,
pertemuan dengan NTFA akan menjadi titik tolak buat Selangor untuk menang dan
menebus kekalahan dengan Kedah minggu lalu selain tidak mahu terlalu jauh
ketinggalan mengekori MK Land.
Katanya, jurulatih Dollah
Salleh bakal mengadunkan kembali kemantapan benteng dengan pemain berpengalaman
S. Sivaram untuk berada dalam kesebelasan utama bertemu NTFA di Stadium Batu
Kawan malam ini.
Ujarnya, pemain berpengalaman
S. Sivaram dijangka diberi kepercayaan menerajui benteng pertahanan dan
bukannya pemain import dari Australia, Badui Farah.
Menurut Satim, Farah belum
mendapat kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab mengemudi benteng kerana
prestasi yang kurang menyerlah dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Sebaliknya, beliau percaya
kehadiran Sivaram dengan rombakan kecil posisi pemain dapat mewujudkan benteng
yang ampuh.
``Sivaram sering diletakan di
bangku simpanan dan kali ini dia diberi peranan utama mengemudi benteng
bergandingan dengan D. Surendran Mohd. Saifu Nizam dan Ahmad Tarmini Saiban.
``Saya agak kecewa kerana tidak
dapat menurunkan Nazrulerwan Makmor yang mengutip kad kuning ketiga,'' ujarnya.
Apapun kata Satim, pemain telah
disuntik semangat agar kemenangan perlu dicatatkan apabila bertemu NTFA.
Ujarnya, gandingan serangan
Muhammad Khalid Jamlus, Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes tetap menjadi
sandaran di bahagian serangan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iSkqNQRG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan