ARKIB : 22/03/2005
KUALA LUMPUR - Dua pendahulu
menerima kejutan dan terpaksa melepaskan genggaman tampuk teratas apabila
menamatkan saingan pusingan pertama Liga Perdana Ahad lalu.
Lebih memeritkan apabila dua
pasukan berstatus kelab menconteng arang kepada Selangor dan Negeri Sembilan.
Selangor selaku pendahulu
Kumpulan A yang dianggap memiliki segala kelebihan dengan barisan pemain elit
tersentak dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada MK Land di Stadium Shah Alam.
Lebih perit rekod tanpa kalah
Selangor tidak mampu dipertahankan dan dimusnahkan di gelanggang sendiri.
Sementara Negeri Sembilan
selaku pendahulu Kumpulan B pula lebih perit dimalukan oleh pendatang baru yang
masih mentah apabila tewas 2-3 kepada wakil kelab dari Perak, Jenderata di
Stadium Lumut.
Kejutan tersebut melihat
kedua-dua pasukan tersebut terpaksa melepaskan cengkaman sebagai pendahulu liga
dalam kumpulan masing-masing menamatkan saingan pusingan pertama.
Selangor yang cuba memburu
tempat ke Liga Super musim depan dilihat lega untuk mencatat kemenangan kelima
dengan gol awal menerusi Brian Fuentes pada minit ke-17 untuk mendahului 1-0.
Bagaimanapun, penyerang import
MK Land, Marlon Alex James meledakkan jaringan penyamaan dan menambah gol kedua
sebelum Ooi Hoe Guan mencipta jaringan ketiga.
Begitupun, Fuentes merapatkan
jurang apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-75 tetapi tidak
berupaya membantu Selangor mengekang MK Land daripada mengutip tiga mata penuh.
MK Land kini merampas tempat
sebagai pendahulu liga daripada Selangor dengan 17 mata berbanding Selangor di
tempat kedua dengan 16 mata.
Kuala Lumpur yang menang ke
atas Melaka 3-0 kian merapatkan diri untuk berada di tempat ketiga dengan
memungut 13 mata manakala Kedah yang hampa dengan keputusan seri 2-2 berada di
tempat keempat.
Sementara dalam Kumpulan B,
Jenderata mencipta kejutan menerusi jaringan V. Santanadas pada minit ke-10 dan
dua gol menerusi Isek Hame Peter pada minit ke-80 dan 90 memahatkan kemenangan
paling bermakna menewaskan Negeri Sembilan 3-2.
Jenderata pasukan yang tidak
diberikan sebarang harapan memperbaiki kedudukan di tangga keempat manakala
Negeri Sembilan di tangga kedua setelah Terengganu memintas sebagai pendahulu.
Terengganu pula mencatat
kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak yang sudah cukup untuk mereka memintas
Negeri Sembilan.
Nor Farhan Mohamad muncul hero
skuad penyu dengan jaringan kemenangan pada minit ke-62 untuk memastikan tiga
mata penuh menjadi milik.
PKNS turut cemerlang apabila
menewaskan Johor FC 2-0 untuk selesa berada di tangga ketiga liga.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iKfys4OI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan