Sabtu, 6 Mei 2017

Selangor merendah diri

ARKIB : 11/01/2005

SELANGOR yang diletakan sebagai pasukan pilihan untuk bergelar juara Liga Perdana Kumpulan A, tidak memandang rendah tujuh lagi pasukan lain yang berada dalam kumpulan tersebut.
Sehebat kehadiran naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kedah selain penampilan Brunei dan Melaka kehadiran tiga pasukan berstatus kelab iaitu Kelantan TNB, Selangor MK Land dan wakil baru Pulau Pinang NTFA tetap menjadi pencabar utama.
Buat skuad Merah Kuning yang menyemat keazaman tinggi untuk beraksi dalam Liga Super musim depan dan sekurang-kurangnya merampas Piala Malaysia dari genggaman Perlis, jelas tidak memandang rendah keupayaan pasukan lain.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh berkata, saingan pasukannya tetap getir tanpa mengambil kira lawan lain walaupun tiga daripada pasukan adalah berstatus kelab.
Menurutnya, pasukan kerdil itu jika dipandang rendah keupayaan mereka boleh membawa padah.
``Saya anggap semua lawan adalah sama hebat dengan keupayaan Selangor dan ini bermakna setiap perlawanan pemain perlu memberikan komitmen tinggi,'' ujarnya semalam.
Beliau menegaskan, Kedah yang diundi dalam Kumpulan A dianggap sebagai `duri dalam daging' dan boleh menjadi penghalang kemaraan Selangor.
``Keupayaan Kedah muncul naib juara Piala Malaysia membuktikan mereka adalah pasukan yang perlu diawasi jika tidak Selangor pasti kempunan untuk memburu tempat ke Liga Super tahun depan,'' tegasnya.
Sambil itu Dollah mengakui persiapan Selangor menghadapi kempen Liga Perdana musim ini sedikit terjejas kerana tidak dapat menghimpunkan kesebelasan terbaik.
Katanya, sejak sesi latihan Disember lalu diadakan beliau hanya mampu mengumpulkan seramai 12 pemain.
Ujarnya, empat pemain utamanya iaitu Muhammad Khalid Jamlus, Mohd. Amri Yahyah, Shukor Adan dan D. Surendran masih bersama skuad bola sepak kebangsaan yang dalam persiapan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Tiger Sabtu ini.
``Tanpa mereka, saya tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaik dan pada masa yang sama saya tidak dapat menguji kekuatan sebenar Selangor,'' tegasnya.
Dollah berkata, keempat-empat pemain tersebut dijangka menyertai sesi latihan skuad Merah Kuning selepas 18 Januari ini.
Dalam pada itu, Dollah turut lega dengan kehadiran penyerang import, Brian Fuentes yang baru pulang bercuti Krimas dan penyerang berbisa Indonesia, Bambang Pamungkas.
Kelibat kedua-dua pemain tersebut akan teruji dalam perlawanan persahabatan yang diatur menentang Pulau Pinang (15 Januari), Negeri Sembilan (19 Januari) dan skuad bawah 23 tahun Singapura (1 Februari).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan