ARKIB : 21/02/2005
PEMAIN TNB Kelantan, Azhar
Abdul Kadir (kiri) ditarik oleh pemain Kedah, Hasmawi Hassan dalam aksi
Kumpulan A Bola Sepak Liga Perdana di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu,
semalam. Kedah menang 3-2. - Gambar ROSNI MASRI.
KUALA LUMPUR - Selangor
mencatat kemenangan ketiga berturut-turut untuk kekal menguasai carta Kumpulan
A bola sepak Liga Perdana selepas membenam Kuala Lumpur 4-1 dalam aksi di
Stadium KLFA, Cheras, semalam.
Pertarungan antara dua jaguh
Lembah Klang itu merupakan pertembungan antara dua pasukan teratas kumpulan dan
Selangor jelas pasukan yang lebih mantap.
Pemain import dari Indonesia,
Bambang Pamungkas menjaringkan dua gol manakala satu gol masing-masing
dijaringkan oleh Shukor Adan dan Brian Fuentes.
Red Giants kini mengumpul
maksimum sembilan mata selepas tiga perlawanan.
Di Stadium Sultan Mohd. IV,
Kota Bharu, Kedah melonjak ke tangga kedua untuk berada kurang dua mata di
belakang Selangor selepas menang tipis 3-2 ke atas TNB Kelantan.
Tuan rumah membuka jaringan
menerusi Mohd. Yazli Yahya minit kelima tetapi pasukan pelawat menyamakan
kedudukan seminit kemudian menerusi pemain kebangsaan, Liew Kit Kong.
Hasmawi Hassan melebarkan
kedudukan dengan jaringan kedua Kedah minit ke-13 dan penyerang kebangsaan,
Akmal Rizal Rakhli menjaringkan gol ketiga minit ke-43.
TNB mendapat satu gol pada
lewat perlawanan menerusi gol sendiri pemain Kedah, Mohd. Fauzi Nan.
Di Nibong Tebal, MK Land
menundukkan NTFA Pulau Pinang 4-1 di Stadium Negeri, Batu Kawan untuk menduduki
tempat ketiga dan berkongsi tujuh mata dengan Kedah.
Pemain import MK Land, Marion
Alax James dan Mitoslav Toth masing-masing menjaringkan dua gol pada minit
ke-13, 16, 48 dan 49.
Gol tunggal NTFA dihasilkan
oleh Amarin Madlan (45)
Di Stadium Hang Jebat, Melaka
menewaskan Brunei 2-0 dengan kedua-dua gol dijaringkan oleh pemain import,
Julio Cesar Ranires minit ke-52 dan 66.
Dalam aksi Kumpulan B, Negeri
Sembilan memintas Terengganu untuk bertakhta di tangga teratas selepas menang
3-1 ke atas Sarawak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Ia juga kemenangan ketiga
berturut-turut buat Negeri Sembilan untuk mengumpul maksimum sembilan mata.
Gol Negeri Sembilan dijaringkan
oleh Effendi Malek (1), Anuar Jusoh (45) dan Che Hisamudin Hassan (73) manakala
gol tunggal Sarawak oleh Branimir Mikulic (51).
Di Stadium Larkin, Johor Bahru,
Bahtiar Othman muncul hero apabila menjaringkan gol kemenangan Johor pada minit
ke-60 untuk memusnahkan rekod tanpa kalah pendahulu kumpulan, Terengganu dengan
kemenangan 1-0.
Di Stadium UiTM, Shah Alam,
Johor FC dan Polis seri 2-2.
Di Stadium TLDM Lumut, Perak
Jenderata mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan PKNS 2-1
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4hum5XU95
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan