ARKIB : 08/03/205
Oleh AMRAN MULUP
LEBIH 50,000 memenuhi Stadium
Shah Alam kelmarin untuk menyaksikan perlawanan Liga Perdana Kumpulan A antara
Selangor dan Kedah. Perlawanan berkesudahan seri 1-1. - Gambar Mat Noor Amin.
KUALA LUMPUR - Kejutan
kedatangan lebih daripada 50,000 penonton mungkin menjadi salah satu sebab
mendorong skuad bola sepak Selangor tidak bermain pada kemampuan sebenar
selepas terikat dengan keputusan seri 1-1 bertemu Kedah di Stadium Shah Alam,
kelmarin.
Itulah rumusan spontan
jurulatih Selangor, Dollah Salleh mengenai kegagalan anak didiknya menunjukkan
kemampuan sebenar mereka.
``Mungkin pemain tergamam
bermain di hadapan penonton paling ramai setakat ini di Stadium Shah Alam, dan
mereka cuba mempamerkan aksi terbaik tetapi sebaliknya pula yang terjadi,''
demikian kata Dollah mengulas pertemuan dengan Kedah, kelmarin.
Reaksi di wajah Dollah jelas
cukup kecewa dengan aksi anak didiknya tetapi beliau masih mampu mengukir
senyum dengan keputusan seri 1-1, dan yang penting Selangor tidak kalah selepas
lima perlawanan yang diharungi. Tanpa mahu menyembunyikan rasa malu, Dollah
mengakui betapa Kedah begitu hebat untuk melenyapkan setiap gerakan Selangor.
``Saya akui perlawanan itu
sebenarnya milik Kedah tetapi saya lega kerana jentera serangan skuad Kenari
mensia-siakan banyak peluang mencipta jaringan,'' ujarnya.
Jurulatih itu mengakui betapa
daripada barisan pertahanan, tengah dan serangan bermain tidak pada kemampuan
sebenarnya.
``Saya pun tidak tahu apa yang
sebenarnya terjadi, kita kehilangan rentak sepanjang tempoh babak pertama, dan
sekadar bangkit 10 minit sebelum tamat.
``Bahagian tengah tidak membuat
banyak gerakan dan bola daripada pertahanan terus disepak ke bahagian serangan,
ini yang sebenarnya memeningkan saya,'' ujarnya.
Beliau menambah, ayam tambatan
Brian Fuentes dan Bambang Pamungkas tidak menunjukkan taring sebenar mereka
dengan larian-larian dan kawalan bola yang menarik.
``Mungkin perlawanan itu hari
`off-day' pemain,'' ujar Dollah secara berjenaka.
Dollah mengakui denyut
jantungnya bergerak kuat setiap kali Kedah membuat gerakan apa lagi benteng
pertahanan membariskan Ahmad Tarmini, Nazrulewan Makmor, Mohd. Saifu Nizam
Husin dan D. Surendran mudah dibolosi oleh Akmal Rizal Rakhili, Hasmawi Hassan
dan Liew Kit Kong.
Begitupun, Dollah tidak mahu
menyalahkan seratus peratus ke atas pemainnya dan mengakui ada sesuatu yang
tidak kena secara tiba-tiba melanda skuad bimbingannya.
Buat jurulatih itu, Kedah telah
menunjukkan beliau mengenai kelemahan Selangor yang perlu diatasi jika berhajat
untuk terus unggul menerajui Liga Perdana Kumpulan A.
Beliau berkata, dua perlawanan
buat Selangor berdepan dengan Brunei di tempat lawan Ahad ini, dan seminggu
selepas itu menanti kunjungan MK Land bagi menamatkan saingan pusingan pertama
akan digunakan untuk memahat kemenangan.
``Saya terpaksa membuat
beberapa rombakan selepas ini dengan K. Sanbagamaran digantung bermain dengan
Brunei selepas mengutip tiga kad kuning selain itu ada kecederaan dialami oleh
Eli Aiboy,'' ujarnya.
Dollah membayangkan Selangor
perlu bangkit dalam dua perlawanan terakhir dalam usaha untuk memperkukuhkan
kedudukan selaku pendahulu Kumpulan A
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iGfVMnoG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan