Ahad, 7 Mei 2017

Selangor mahu jadi contoh

ARKIB : 10/02/2005
SHAH ALAM - Pasukan bola sepak Selangor diharap menjadi pencetus gaya (trendsetter) yang boleh menjadi contoh kepada pasukan negeri lain dalam kancah liga tempatan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, Selangor harus menjadi pasukan sedemikian kerana ia sesuai dengan pencapaian mereka sebagai pasukan paling banyak menyandang gelaran juara pertandingan bola sepak paling berprestij negara, Piala Malaysia.
``Saya mahu mereka menjadi trendsetter kepada bola sepak Malaysia yang boleh menjadi ikutan kepada pasukan negeri lain.
``Tetapi mereka perlu tunjukkan permainan yang berkualiti dan disiplin yang tinggi,'' katanya.
Mohamad Khir berkata demikian kepada pemberita pada majlis ramah mesra penyokong dengan pemain Selangor dan penajaan sebanyak RM5 juta daripada Gapurna Sdn. Bhd., di sini kelmarin.
Mohamad Khir yang juga Menteri Besar Selangor turut menegaskan beliau mahu barisan skuad Merah Kuning menjulang Piala Malaysia tahun ini.
``Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya tidak mahu lain tahun ini kecuali Piala Malaysia. (Layak ke) Liga Super perkara kedua, yang saya mahu cuma Piala Malaysia,'' katanya.
Selangor merangkul gelaran Piala Malaysia sebanyak 29 kali. Kali terakhir Red Giant menjulang piala berprestij itu ialah pada 2002.
``Pasukan ini harus memberi komitmen sepenuhnya bagi memastikan setiap kemenangan.
``Saya tidak nampak skuad Merah Kuning tidak boleh menang dengan adanya barisan pemain yang baik tahun ini.
``Saya telah menunaikan permintaan pegawai FAS yang mahukan barisan pemain terbaik mewakili Selangor tahun ini dan oleh itu skuad itu perlu mencipta kecemerlangan.
``Saya sudah berikan pemain yang baik, harap mereka jangan kecewakan kita,'' katanya.
Beliau juga berkata, pemain skuad Selangor perlu menunjukkan disiplin yang baik termasuk mengikuti sesi latihan yang dirancangkan.
Katanya, beliau akan membuat pemeriksaan mengejut ke tempat dan padang latihan bagi menilai sendiri sama ada para pemain menunjukkan tahap disiplin yang tinggi.
``Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pemain yang melanggar peraturan dan disiplin,'' tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan