ARKIB : 15/05/2005
Oleh AMRAN MULUP KUALA LUMPUR - `Buku bertemu
ruas' itulah gambaran pertembungan dramatik Selangor dengan MK Land di Stadium
Majlis Perbandaran Selayang malam ini yang akan menentukan siapa pendahulu
unggul dalam Kumpulan A Liga Perdana.
Pertembungan dua pasukan
teratas yang sering pintas memintas antara satu sama lain selaku pendahulu
liga, bakal menyajikan aksi paling menarik berbanding tujuh perlawanan lain
turut berlangsung malam ini.
Selangor pastinya tidak
melupakan kekalahan mengejut pasukan itu kepada MK Land 2-3 di Stadium Shah
Alam.
Kekalahan itu memalitkan malu
besar buat skuad Merah Kuning dan pertemuan kedua-dua pasukan kali ini peluang
terbaik buat Selangor menebus kekecewaan pada 20 Mac lalu.
Anak didik jurulatih Dollah
Salleh sudah tentu tidak mahu malam memalukan itu berulang dan bakal dipahatkan
di Stadium Selayang.
Skuad Merah Kuning kini semakin
menunjukkan taring selepas tewas 1-4 kepada Kedah mula bangkit menewaskan
Brunei (3-0) dan Melaka (4-0).
Sedangkan MK Land pula masih
tersentak selepas diikat dengan keputusan seri 1-1 bertemu Kuala Lumpur minggu
lalu.
Selangor dengan kelebihan satu
perlawanan memungut 34 mata berbanding MK Land dengan 30 mata.
Apa yang pasti kemenangan salah
sebuah pasukan bakal ditentukan oleh kehebatan penyerang masing-masing.
Selangor berbangga dengan
kejituan sentuhan jaringan penyerang Indonesia, Bambang Pamungkas manakala MK
Land bergantung harapan ke atas kelincahan Marlon Alex James.
Kedua-dua penyerang itu sudah menjaringkan
16 gol setakat ini untuk berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak Liga
Perdana.
Selangor perlu memahatkan
kemenangan untuk terus menjarakkan diri bagi mengharungi enam lagi perlawanan
dalam pusingan ketiga sebelum dinobatkan selaku juara Liga Perdana Kumpulan A.
Ketika tumpuan kepada
pertembungan Selangor dan MK Land, saingan terdekat Kedah sudah tentu akan
merapatkan diri untuk meraih kemenangan apabila bertandang ke Stadium Negara
Hasanal Bolkiah bertemu Brunei.
Kemenangan yang diburu Kedah
sambil mengharapkan MK Land rebah di Selayang bakal melonjakkan diri skuad
Kenari itu di tempat kedua di belakang Selangor.
Sementara itu, dalam saingan
Kumpulan B pula, pendahulu Terengganu dilihat berdepan tugas rumit berdepan
dengan Sarawak di tempat lawan.
Skuad Penyu perlu menewaskan
Sarawak jika mahu terus mengungguli persada Kumpulan B dan mereka menyedari
kekalahan bakal membolehkan saingan terdekat mereka Negeri Sembilan memintas
mereka.
Berbanding Negeri Sembilan,
mereka disifatkan melalui laluan mudah menanti kunjungan Jenderata di Stadium
Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
PKNS pula yang hampa untuk
merapatkan diri perlu menewaskan Johor FC di tempat lawan jika berhasrat untuk
mengekori Terengganu dan Negeri Sembilan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iU7kUM83
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan