Isnin, 29 Mei 2017

Selangor makin kukuh di tempat teratas



ARKIB : 13/05/2005


PETALING JAYA - Selangor mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan A bola sepak Liga Perdana selepas menewaskan Melaka 4-0 dalam perlawanan di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Turun dengan reputasi tinggi, Selangor menghasilkan dua gol setiap babak permainan untuk memungut tiga mata penuh.

Pemain import Selangor dari Indonesia, Bambang Pamungkas menyumbang dua gol pada minit ke-20 dan 38.

Manakala dua lagi gol disumbangkan Nazzab Hidzan pada minit ke-46 dan Khalid Jamlus pada minit ke-51.

Biar pun perlawanan semalam dibayangi kejadian rusuhan penyokong Selangor di Stadium Shah Alam bulan lalu tetapi kali ini tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Penyokong Selangor marah dan bertindak ganas dengan membakar kerusi stadium dan memecahkan cermin apabila perlawanan menentang Melaka ketika itu ditunda kerana hujan.

Ternyata Selangor menguasai sebahagian besar permainan dengan melakukan gerakan-gerakan pantas ke kubu lawan.

Kejayaan Bambang menjaringkan dua gol meletakkan pemain itu kini muncul penjaring terbanyak buat Selangor setakat ini dengan 16 gol.

Manakala rakan sepasukannya, Brian Fuentes dengan 14 gol. Turut berada dalam senarai penjaring terbanyak ialah pemain MK Land, Marlon Alex James.

Dengan kemenangan ini membolehkan Selangor kini mengumpul 34 mata dengan meninggalkan MK Land di tangga kedua dengan 30 mata.

Bagaimanapun MK Land masih kurang satu perlawanan kerana Selangor setakat ini telah bermain 14 perlawanan.

Selangor dan MK Land akan bertemu pada Ahad ini dalam perlawanan yang dianggap pertemuan dua pasukan teratas Kumpulan A.

Perlawanan ini dilihat bakal menjadi penentu pasukan mana yang akan mengungguli Kumpulan A selepas ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iTxBNils
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan