Selasa, 23 Mei 2017

Kecederaan Aboy buat Selangor resah



ARKIB : 22/02/2005

KUALA LUMPUR - Kecederaan belakang lutut kanan perancang utama Selangor Ellie Aboy mungkin memaksa bintang import dari Indonesia itu direhatkan menjelang aksi pusingan pertama Piala FA bertemu juara Liga Super musim lalu, Pahang di Stadium Shah Alam, malam esok.

Aboy ditimpa kecederaan tersebut selepas diterjah dari belakang oleh pertahanan Kuala Lumpur sewaktu Selangor membenam skuad wargakota 4-1 dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, kelmarin.

Keadaan itu mungkin memaksa jurulatih Dollah Salleh membuat perhitungan sama ada mahu menurunkan Aboy atau merehatkan pemain itu.

Bertemu Pahang disifatkan pertembungan `buku dengan ruas' ketika Selangor yang sedang mengungguli Liga Perdana Kumpulan A selepas menang dalam tiga perlawanan tidak rela Pahang mencalarkan rekod bersih skuad Merah Kuning.

``Saya tidak pasti dengan kecederaan Aiboy sama ada serius atau pun tidak dan keadaan benar-benar meresahkan tambah pula menjelang pertemuan dengan Pahang esok.

``Apa pun saya kena benar-benar pasti kecederaan dia, jika nampak boleh menjejaskan prestasinya selepas ini adalah lebih saya merehatkan dia daripada beraksi dengan Pahang,'' ujar Dollah di sini, semalam.

Jika terpaksa melupakan Aboy, Dollah dijangka membuat rombakan di bahagian pertahanan untuk membariskan bintang import baru Selangor, Farah Badui buat pertama kali dalam kesebelasan utama.

Badui yang menjadi pemain import keempat skuad Merah Kuning musim ini masih belum disenaraikan dalam kesebelasan utama di bahagian pertahanan selepas gandingan Bambang Pamungkas, Aboy dan Brian Fuentes beraksi cemerlang setakat ini.

``Jika dia (Aboy) tidak beraksi, saya tidak ada pilihan dan akan menurunkan Badui selain merombak bahagian sayap kiri yang belum saya tentukan,'' ujarnya.

Jurulatih Selangor itu mengakui tanpa pemain sayap lincah dari Indonesia ia boleh menjejaskan rentak skuad Merah Kuning.

Dollah berkata, Aboy menjadi nadi gerakan dengan larian deras sering membuka ruang di bahagian serangan yang bertindak cemerlang hingga setakat ini telah menjaringkan 14 gol.

``Saya tidak nafikan tanpa Aboy boleh menjejaskan prestasi Selangor tetapi apa pun saya terpaksa menunggu sehingga menjelang pertemuan dengan Pahang untuk menentukan kedudukannya,'' jelas Dollah.

Menurutnya, pertemuan dengan Pahang disifatkan ujian paling penting selepas tiga kemenangan ke atas Melaka (4-1), TNB Kelantan (6-1) dan Kuala Lumpur (4-1), jelas belum menguji kemantapan Selangor.

Bertemu Pahang buat Dollah perlawanan yang amat penting dan akan menguji kemantapan skuad Merah Kuning.

Dalam pada itu Dollah terus dibayangi rasa resah dengan kemantapan barisan pertahanan yang boleh lagi ketika bertemu Kuala Lumpur.

Sekalipun D. Surendran kembali daripada penggantungan mengambil alih tempat P. Gunalan ia masih belum mampu menceriakan Dollah.

Begitupun jurulatih Selangor itu membayangkan beliau tidak akan banyak membuat rombakan dalam pasukannya ketika bertemu Pahang melainkan jika bintang Indonesia itu terpaksa direhatkan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4hupv7I6q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan