Khamis, 29 Jun 2017

Selangor gugur semua pemain -- Selepas gagal dalam kempen Liga Bola Sepak Malaysia



ARKIB : 03/08/2006
Oleh SUHANA ABDUL MUTALIB
  
SHAH ALAM – ‘‘Semua pemain pasukan Selangor akan digugurkan dan kita akan memilih pemain baru yang mampu memikul cabaran untuk saingan bola sepak Liga Perdana musim 2007.”

Itulah kata-kata tegas Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Mohamad Khir Toyo yang jelas kecewa dengan kegagalan pasukan gergasi Merah Kuning itu merangkul sebarang piala serta kegagalan melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala Malaysia tahun ini.

Beliau menegaskan, FAS juga akan menggugurkan semua pemain import sedia ada memandangkan niat asal mendapatkan khidmat pemain import iaitu untuk berkongsi skil permainan serta meningkatkan prestasi pasukan gagal dicapai.

‘‘Kita sudah ambil keputusan untuk membuat perubahan drastik tahun hadapan. Tidak ada sebarang pemain import dan kita akan menubuhkan satu pasukan baru yang seratus peratus terdiri dari pemain tempatan di bawah usia 23 tahun.

‘‘Saya juga minta maaf kepada pemain senior memandangkan hanya ada seorang atau dua daripada mereka sahaja yang akan dikekalkan untuk memberi tunjuk ajar kepada pemain baru ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Selangor terlepas untuk mempertahankan trofi berprestij bola sepak negara, Piala Malaysia akibat perbezaan jaringan dengan pasukan Liga Perdana, Terengganu yang menduduki tempat kedua Kumpulan A.

Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu, Selangor menang ke atas Sabah 3-1 tetapi tidak cukup untuk memintas Terengganu kerana mereka memerlukan kemenangan lebih besar.

Kegagalan Selangor itu turut dibantu keputusan seri 3-3 Terengganu dengan Negeri Sembilan walaupun pasukan Pantai Timur itu ketinggalan 1-3 pada satu ketika.

Mohamad Khir seterusnya berkata, semua pemain baru itu juga akan ditempatkan di sebuah asrama untuk membolehkan mereka menjalani latihan secara berterusan dan komprehensif tanpa sebarang gangguan luar.

Tambah beliau, lokasi asrama juga telah dikenalpasti dan proses pemilihan pemain akan dimulakan pada bila-bila masa.

‘‘Dengan pasukan baru ini, kita tidak terus meletakkan sasaran untuk memenangi Piala Malaysia musim hadapan sebaliknya ia hanya sebagai pendedahan awal untuk mereka.

‘‘Bagaimanapun, saya berharap Piala Malaysia akan kembali ke Selangor pada tahun 2008,” ujarnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4lO8Qd0bN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 28 Jun 2017

Selangor di ambang kejatuhan?



ARKIB : 12/07/2006
KUALA LUMPUR - Penyandang juara, Selangor hampir pasti akan kehilangan kejuaraan ketiga yang disandang musim lalu dengan permulaan buruk apabila tewas dalam dua perlawanan pembukaan Piala Malaysia.

Bukan setakat terlepas gelaran yang disandang, lebih pasrah kemungkinan besar Selangor turut tersisih untuk mengisi tempat ke suku akhir.

Dua kekalahan menyaksikan penyandang juara menduduki tangga tercorot Kumpulan A ketika saingan didominasi oleh NS Naza dan Terengganu.

Apa sudah jadi dengan Selangor? Itulah persoalan yang timbul melihat aksi hambar seperti yang berlaku di awal musim Liga Super menyaksikan Merah Kuning terpelosok di tangga terbawah liga.

Kehadiran bekas bintang Real Madrid, Perica Ognjenovic langsung tidak memberi sebarang impak untuk membantu kebangkitan Selangor yang tewas 1-0 kepada NS Naza dan 2-1 kepada Terengganu, Sabtu lepas.

Baki empat perlawanan yang tinggal perlu dimenangi oleh Selangor bermula dengan pertemuan dengan Sabah di tempat lawan, Sabtu ini.

Dua saingan utama, Negeri Sembilan Naza dan Terengganu mengisi dua tempat tangga teratas Kumpulan A buat melayakkan mereka menempah tempat ke suku akhir.

Kedua-dua pasukan itu masing-masing mengutip enam mata hasil dua kemenangan.

Lebih menarik pertembungan NS Naza dan Terengganu di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini bakal menghadirkan aksi ibarat ‘buku bertemu ruas'.

Turut menjadi tumpuan ialah kebangkitan dua pasukan berstatus kelab iaitu Telekom Melaka dan MPPJ kian menunjukkan taring.

Telekom Melaka diterajui jurulatih Irfan Bakti selaku naib juara Liga Super kini mengungguli Kumpulan B mengutip empat mata diikuti oleh P.Pinang E&O, Kedah dan Johor FC.

MPPJ yang pernah mencipta sejarah menjulang Piala Malaysia pada 2003 pula semakin menunjukkan kebangkitan.

Permulaan buruk dalam saingan Liga Super bukan halangan MPPJ bangkit menduduki tangga teratas Kumpulan D memungut enam mata memintas Perak untuk berada di tempat kedua.

Sementara itu, Sarawak mula menerbitkan rasa yakin untuk menguasai Kumpulan C hasil dua kemenangan menewaskan PKNS 3-0 dan terbaru mengejutkan juara Piala FA, Pahang dengan 1-0 di tempat sendiri.

Sarawak kini menduduki tangga teratas Kumpulan C dicabar hebat oleh Perlis, Pahang dan Johor FC.

Naib juara Liga Perdana, Melaka gagal mempamerkan aksi cemerlang apabila tewas dalam dua perlawanan awal menyaksikan mereka menduduki tangga terbawah Kumpulan D.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4lHzp6bb9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 27 Jun 2017

Selangor cerah kekal Super



ARKIB : 19/06/2006

KUALA LUMPUR - Selangor mencerahkan peluang untuk kekal dalam persaingan bola sepak Liga Super musim depan sedang Pahang menempah laluan sukar selepas perlawanan pertama pusingan pertama play-off, semalam.

Jaringan K. Rajan, Bambang Pamungkas dan Shukor Adan membawa Selangor menewaskan Johor FC 3-2 di Stadium J-Corp, Pasir Gudang yang sempat membalas menerusi dua gol Gaston Narcel Conlon.

Pahang yang melayani DPMM Brunei di Stadium Darul Makmur, Kuantan, sekadar seri tanpa jaringan dalam perlawanan yang begitu hambar kerana tanpa percubaan berbahaya dapat disaksikan.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pula kecundang 0-1 kepada jaringan Fabian Flor dari Terengganu sementara PKNS menyerah mudah 0-3 kepada Sarawak hasil gol Safee Sali (dua) dan Robert Eshun di Stadium Petaling Jaya

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4lBjmEd3Q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 26 Jun 2017

Selangor ke suku akhir Piala AFC


 

ARKIB : 17/05/2006
TONGGAK Selangor, Brian Fuentes (dua dari kiri) diasak oleh pemain Hurriyah, Nadheem Hassan pada saingan bola sepak Piala AFC di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Pemain tengah veteran, K. Sanbagamaran muncul wira Selangor apabila gol tunggalnya membawa juara Piala Malaysia itu melangkah ke suku akhir bola sepak Piala AFC selepas menundukkan wakil Maldives, Hurriyah 1-0 di Stadium KLFA, Cheras semalam.

Walaupun gagal untuk mencari jaringan besar untuk membolehkannya muncul juara Kumpulan F, Selangor tetap berjaya meneruskan cabaran selaku antara dua pasukan terbaik daripada tangga kedua.

Gol Sanbagamaran pada minit ke-27 membantu Selangor mengutip tiga mata, dan muncul naib juara kumpulan dengan mengumpul 15 mata daripada lima perlawanan.

Sanbagamaran, 34, tidak diturunkan ketika Selangor mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas juara kumpulan, Tampines Rovers dari Singapura dua minggu lalu akibat penggantungan.

Hasrat Malaysia untuk mempunyai dua wakil pada peringkat suku akhir bagaimanapun tidak tercapai selepas Perlis gagal meneruskan cabaran setelah seri 0-0 dengan satu lagi kelab Maldives, New Radiant di Stadium Nasional, Male.

Keputusan tersebut meletakkan Perlis di tangga kedua Kumpulan E, di belakang kelab Hong Kong, Sun Hei yang menumpaskan Home United dari Singapura 2-0.

KEPUTUSAN

Kumpulan E

New Radiant (Mdv) 0 Perlis 0

Home United (Sin) 0 Sun Hei (Hkg) 2

Kumpulan F

Selangor (Mas) 1 Hurriyah (Mdv) 0

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4l64POrf9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 25 Jun 2017

Selangor tidak akan persia peluang



ARKIB : 08/04/2006
KUALA LUMPUR - Selangor tidak akan mensia-siakan baki enam perlawanan yang tinggal sebelum saingan Liga Super menutup tirai untuk mengutip kemenangan termasuk menewaskan Pahang di Stadium Darul Makmur malam ini.

Hanya kemenangan yang diraih mampu mengelakkan Selangor daripada terus menghuni tangga terbawah liga.

Rentetan kemenangan 5-2 ke atas Telekom dan seri 1-1 dengan pendahulu Perak Sabtu lalu membayangkan kebangkitan awal Selangor.

Malah pertembungan dengan Pahang disifatkan perlawanan penting buat Selangor untuk menewaskan lawan.

Buat pemain Merah Kuning mereka tidak ada banyak pilihan, kemenangan mesti diraih ke atas Pahang bagi memperbaiki kedudukan daripada terus berada di tangga terbawah liga.

``Setakat ini saya puas hati dengan prestasi semua pemain yang sudah kembali bangkit dan mereka juga tidak putus asa dengan baki enam perlawanan untuk menang setakat yang termampu.

``Bertemu Pahang, satu perlawanan yang hebat kerana masing-masing cuba mengelakkan diri daripada menduduki tangga terbawah liga,'' ujar jurulatih Dollah Salleh.

Berdasarkan peningkatan skuad Selangor dalam Liga Super dan Piala AFC, Dollah tidak menyangkal skuad Merah Kuning mampu mengekang Pahang daripada membawa pulang tiga mata penuh.

Menurutnya, kebangkitan Bambang Pamungkas yang kembali menemui sentuhan jaringan bakal menjadi nadi utama untuk merobek gawang Pahang.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan masing-masing terikat 1-1. Pahang tewas 1-3 di pusingan pertama tetapi bangkit menang 2-1 di tempat sendiri.

Dollah tidak menafikan Bambang yang kembali menemui sentuhan jaringan akan menjadi nadi utama berdepan dengan Pahang.

Begitupun kata Dollah ketiadaan penyerang lincah, Ellie Aiboy sedikit menjejaskan kekuatan kesebelasan utama Merah Kuning.

Ujarnya, Ellie mungkin tidak dapat beraksi apabila Selangor bertemu Happy Valley dari Hong Kong dalam Piala AFC Selasa ini.

Keseluruhannya, Dollah memuji semangat berjuang mati-matian dipamerkan oleh kesebelasan utama yang menyedari betapa Selangor kian terhimpit.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4l0vzyRvp
© Utusan Melayu (M) Bhd