Isnin, 5 Jun 2017

Selangor ikat Bambang, Aiboy



ARKIB : 26/10/2005
Oleh AMRAN MULUP

TONGGAK Selangor, Bambang Pamungkas (kiri) dan Elie Aiboy menandatangani kontrak baru bersama pasukan itu di Jakarta, semalam.


KUALA LUMPUR - Ikatan dua ayam tambatan Selangor, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy terjawab apabila dua pemain skuad bola sepak kebangsaan Indonesia itu akhirnya menandatangani kontrak baru mewakili skuad Red Giants bagi musim 2005/2006.

Ketika Bambang dan Aiboy menandatangani kontrak baru untuk musim kedua mewakili Selangor di hadapan pengurus pasukan, Datuk Satim Diman dan jurulatih, Dollah Salleh di Jakarta semalam, kedudukan seorang lagi pemain kebangsaan Indonesia, Charis Yuliano pula tertangguh seketika.

Hajat Selangor untuk melamar tonggak pertahanan Indonesia itu tidak kesampaian buat ketika ini apabila Charis meminta tempoh sehingga 19 November ini sebelum membuat keputusan untuk menyarung jersi Merah Kuning musim depan.

Satim Diman berkata, Charis masih mempunyai dua tugas terakhir dengan kelab Persija dalam saingan separuh akhir Piala Copa bertemu PSMS pada 11 November ini dan perlawanan akhir pada 19 November ini.

``Dia (Charis) minta tempoh sebelum mengambil keputusan menandatangani kontrak dengan Selangor kerana masih ada tugas yang belum selesai dengan Persija.

``Perkara kedua pula, kontrak dia dengan Persija akan berakhir pada 31 Disember ini dan perkara ini akan diputuskan selepas 19 November ini kelak,'' ujar Satim ketika dihubungi di Jakarta, semalam.

Charis adalah rakan sepasukan Bambang dan Aiboy dengan kelab Persija dan dalam skuad kebangsaan Indonesia.

Mengenai Bambang dan Aiboy, Satim berkata, beliau lega apabila kedua-dua pemain tersebut akhirnya menandatangani kontrak dengan Selangor untuk tempoh semusim lagi.

``Sekarang Bambang dan Aiboy menjadi milik sah Selangor dan tidak ada apa yang perlu saya risau cuma masalah kecil dengan Charis,'' ujarnya.

Kedua-dua tonggak tersebut yang merintis kejayaan gemilang Selangor merangkul tiga piala dalam semusim, tidak turut serta pada majlis menandatangani kontrak 19 pemain yang diadakan baru-baru ini.

Bambang dan Aiboy telah pulang awal ke kampung halaman masing-masing sebaik berakhirnya pertandingan Piala Malaysia 2 Oktober lalu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jAiFSxHg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan