Ahad, 25 Jun 2017

Selangor tidak akan persia peluang



ARKIB : 08/04/2006
KUALA LUMPUR - Selangor tidak akan mensia-siakan baki enam perlawanan yang tinggal sebelum saingan Liga Super menutup tirai untuk mengutip kemenangan termasuk menewaskan Pahang di Stadium Darul Makmur malam ini.

Hanya kemenangan yang diraih mampu mengelakkan Selangor daripada terus menghuni tangga terbawah liga.

Rentetan kemenangan 5-2 ke atas Telekom dan seri 1-1 dengan pendahulu Perak Sabtu lalu membayangkan kebangkitan awal Selangor.

Malah pertembungan dengan Pahang disifatkan perlawanan penting buat Selangor untuk menewaskan lawan.

Buat pemain Merah Kuning mereka tidak ada banyak pilihan, kemenangan mesti diraih ke atas Pahang bagi memperbaiki kedudukan daripada terus berada di tangga terbawah liga.

``Setakat ini saya puas hati dengan prestasi semua pemain yang sudah kembali bangkit dan mereka juga tidak putus asa dengan baki enam perlawanan untuk menang setakat yang termampu.

``Bertemu Pahang, satu perlawanan yang hebat kerana masing-masing cuba mengelakkan diri daripada menduduki tangga terbawah liga,'' ujar jurulatih Dollah Salleh.

Berdasarkan peningkatan skuad Selangor dalam Liga Super dan Piala AFC, Dollah tidak menyangkal skuad Merah Kuning mampu mengekang Pahang daripada membawa pulang tiga mata penuh.

Menurutnya, kebangkitan Bambang Pamungkas yang kembali menemui sentuhan jaringan bakal menjadi nadi utama untuk merobek gawang Pahang.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan masing-masing terikat 1-1. Pahang tewas 1-3 di pusingan pertama tetapi bangkit menang 2-1 di tempat sendiri.

Dollah tidak menafikan Bambang yang kembali menemui sentuhan jaringan akan menjadi nadi utama berdepan dengan Pahang.

Begitupun kata Dollah ketiadaan penyerang lincah, Ellie Aiboy sedikit menjejaskan kekuatan kesebelasan utama Merah Kuning.

Ujarnya, Ellie mungkin tidak dapat beraksi apabila Selangor bertemu Happy Valley dari Hong Kong dalam Piala AFC Selasa ini.

Keseluruhannya, Dollah memuji semangat berjuang mati-matian dipamerkan oleh kesebelasan utama yang menyedari betapa Selangor kian terhimpit.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4l0vzyRvp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan