Sabtu, 10 Jun 2017

Selangor mula terasa serik



ARKIB : 05/01/2006

BAMBANG Pamungkas (kanan) akan menggalas tugas di bahagian serangan dalam misi memastikan Selangor menang pada perlawanan dengan Telekom dalam saingan Liga Super, Sabtu ini.

KUALA LUMPUR - Rentetan empat kekalahan sudah cukup buat Selangor untuk bangkit semula memperbaiki kedudukan selain menyakinkan semula sokongan peminat Merah Kuning yang semakin berkurangan datang ke stadium.

Pertemuan pihak pengurusan dengan semua pemain Selangor berlangsung selama tiga jam kelmarin mencari kesilapan yang membawa padah tumbang empat perlawanan menemui titik noktah.

Segala kekalutan pemain dibuang mimpi-mimpi indah ketika dijulang selaku wira dengan pelbagai sambutan menjulang tiga piala dikikis dari minda pemain.

Sabtu ini akan menjadi titik tolak kebangkitan Selangor dengan ikrar pemain mahu menewaskan Telekom di Stadium Hang Jebat.

Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman berkata, pertemuan dengan semua pemain dengan perbincangan dari hati ke hati menjurus kepada satu keputusan - Selangor tidak boleh kalah lagi.

``Kalau wujud kekeruhan di kalangan pemain semuanya sudah selesai dan Sabtu ini adalah masanya untuk Selangor bangkit mencapai kemenangan.

``Sabtu ini akan menjadi titik tolak untuk membuktikan Selangor belum tercicir untuk bersaing dengan pasukan-pasukan lain,'' ujar Satim.

Beliau menegaskan, pemain telah melaungkan ikrar akan beraksi lebih daripada seratus peratus dengan matlamat menewaskan Telekom.

Ujarnya, kemenangan yang dicari Sabtu ini penting untuk mengembalikan semula sokongan peminat Merah Kuning yang semakin berkurangan hadir ke stadium.

Selangor kini menduduki tangga keenam sekadar mengutip satu kemenangan menewaskan Pahang 3-1 tetapi tersungkur dalam empat perlawanan kepada Perak (4-1), MPPJ (2-1), Pulau Pinang (3-1) dan Negeri Sembilan (2-0).

Satim menambah, Selangor menetapkan sasaran saingan pusingan kedua dan ketiga akan digunakan sepenuhnya untuk mencari kemenangan sebanyak mungkin.

Katanya, saingan kali ini tidak menetapkan sasaran untuk memburu gelaran Piala Liga Super.

Sebaliknya kata beliau, apa yang paling penting adalah untuk memastikan Selangor tidak terus menduduki tangga terbawah liga dan tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Ujarnya, kehadiran pemain import keempat Kore Emmanuel Felix Jonas, 29, dari Ivory Coast akan mengembalikan semula kekuatan di benteng pertahanan.

``Pengalaman Felix bermain dengan kelab Alitifaq dari Qatar selain pernah beraksi di Turki, Burkina Faso dan Algeria mampu mengemudi pertahanan,'' ujarnya.

Beliau yakin dengan kemampuan yang dimiliki oleh Felix untuk mengemudi benteng pertahanan agar tidak lagi dibolosi pihak lawan.

Satim juga turut yakin dengan sentuhan Bambang Pamungkas dan kelincahan Elie Aiboy akan memuncak kembali selepas hambar dalam perlawanan lalu.

Bagaimanapun katanya, menjelang pertemuan dengan Telekom, pemain berpengalaman, K. Sanbagamaran tidak dapat beraksi kerana mengutip kad kuning ketiga.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jaQ61ifB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan