Ahad, 4 Jun 2017

Selangor janji pulun dua piala -- Jaminan ganjaran setimpal



ARKIB : 21/09/2005

Oleh AMRAN MULUP
 SEPANG - Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berharap pemain dapat memberikan persembahan terbaik bagi merealitikan impian Selangor menjulang Piala FA dan Piala Malaysia serentak.

Menurut beliau, tiada perkara yang mustahil selepas barisan pemain Selangor berhempas pulas mengharungi jadual ketat tanpa rehat yang cukup tetapi mampu ke perlawanan akhir kedua-dua piala tersebut.

``Saya kagum dengan semangat juang pemain Selangor yang cukup kental walaupun terpaksa bermain dalam keadaan jadual yang cukup ketat, langsung tidak ada ruang untuk rehat.

``Jika mereka boleh melakukannya hingga mara ke akhir, ini jelas membuktikan bahawa pemain Selangor boleh menjulang Piala FA dan Piala Malaysia.

``Namun, setakat ini Selangor belum bergelar juara dan saya minta pemain dapat memberikan persembahan terbaik khususnya pada perlawanan akhir Piala FA Sabtu ini dan sesudah itu pula bagi Piala Malaysia pada 1 Oktober ini,'' ujanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam sejurus tiba daripada mengadakan lawatan kerja di Ukraine.

Ketibaan Mohamad Khir turut disambut oleh Pengurus Pasukan, Datuk Satim Diman, jurulatih Dollah Salleh dan setiausaha agung FAS, Hamidin Mohd. Amin serta beberapa penyokong Merah Kuning.

Selangor akan bertemu Perak pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah Alam Sabtu ini dan selepas itu, skuad Merah Kuning akan berdepan Perlis pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 1 Oktober ini.

Kelmarin, Selangor mengetepikan saingan getir Terengganu walaupun mencatat keputusan seri 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin tetapi layak bertemu Perlis dengan agregat 4-2.

Mohamad Khir membayangkan rasa yakin dengan kemampuan barisan pemain Selangor yang dilatih oleh Dollah Salleh untuk menafikan saingan Perak dan Perlis nanti.

``Insyallah kita boleh menang kedua-dua piala dengan syarat pemain dapat menunjukkan persembahan yang lebih daripada biasa,'' katanya.

Mohamad Khir yang juga Menteri Besar Selangor memberi jaminan pemain akan diberikan ganjaran yang setimpal jika mereka merealitikan impian mendakap kedua-dua piala tersebut.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j2lkfcSb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan