Ahad, 4 Jun 2017

Selangor ke final



 
ARKIB : 20/09/2005

Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN dan SAIFULIZAM MOHAMAD
PEMAIN Selangor, Brian Fuentes (tengah) berusaha mengelak asakan pemain Terengganu, Rosairil Asrul Mat Noor (kiri) dalam aksi separuh akhir kedua bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi. Perlawanan berkesudahan seri 1-1. - Gambar KASWADI YUSOFF.


KUALA TERENGGANU - Selangor menempah tempat ke perlawanan akhir bertemu Perlis walaupun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Terenganu pada saingan separuh akhir kedua bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, semalam.

Juara Piala Malaysia 29 kali itu, mara dengan agregat 4-2 selepas menang 3-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di Shah Alam, Rabu lalu.

Sesudah memastikan pentas final Piala FA bertemu Perak Sabtu ini, Selangor dengan barisan pemain bergelar bintang menafikan impian Terengganu untuk beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu Perlis di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Oktober ini.

Perlis pula terdahulu mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir selepas menewaskan Perak dengan agregat 3-1 di Stadium Utama, Kangar, kelmarin.

Kini impian Selangor untuk mencipta kejayaan menjulang Piala FA dan Piala Malaysia sekali gus seperti mana yang dilakukan pada musim 1997 bakal menjadi kenyataan.

Beraksi di hadapan kira-kira 20,000 penyokong, pasukan pelawat terlebih dahulu mengasak kubu Terengganu melalui gandingan penyerang import, Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes.

Gerakan mereka mencemaskan penyokong Penyu pada minit ke-11 apabila hantaran lintang Fuentes sekadar melintasi gawang lawan, tanpa sempat ditampan Bambang.

Terengganu cuba mengimbangi asakan Red Giants dan hampir mendapat gol awal pada minit ke-25.

Bagaimanapun, penyerang import, Dos Santos menanduk sipi hantaran Sapian Wahid sekali pun penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian sudah tertewas.

Namun, nasib menyebelahi tuan rumah apabila pengadil, Ahmad Khalidi Supian menghadiahkan sepakan penalti kepada pada minit ke-27 selepas Santos dijatuhkan Ahmad Tarmini Saiban di dalam petak penalti.

Selepas sepakan pertamanya dibatalkan, pemain import, Helton Soares tenang menyempurnakan sepakan untuk menjadikan agregat 3-2.

Sejurus gol itu, perlawanan dihentikan seketika kerana segelintir penyokong Terengganu melontar mercun ke dalam padang sehingga membahayakan para pemain dan penjaga garisan.

Terengganu hampir menyamakan kedudukan agregat pada minit ke-41, bagaimanapun Shahrul Ezrain Shamsuddin mensias-siakan peluang itu dengan menanduk bola sipi di bahagian kiri gawang Selangor.

Selangor menghalang kebangkitan yang ingin dicipta tuan rumah apabila menyamakan kedudukan perlawanan pada minit ke-56 hasil tandukan Amri Yahya, sekali gus menjadikan agregat 4-2.

Jaringan berpunca daripada hantaran lambung Ellie Aiboy dari luar kotak penalti yang disudahkan oleh Amri untuk menewaskan penjaga gol, Syamsuri Mustafa.

Gol tersebut melunturkan semangat pemain Terengganu dan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat permainan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j2WauNcx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan