ARKIB : 07/09/2005
KUALA LUMPUR - Selangor masih
berkeyakinan tinggi untuk melangkah ke separuh akhir bola sepak Piala Malaysia
sekali pun berdepan tugas getir bertemu Pulau Pinang di Stadium Bandaraya malam
ini.
Selain percaturan terbaik,
disiplin tinggi pemain di dalam padang menjadi faktor utama yang akan dapat
membantu Selangor mengenepikan saingan Pulau Pinang.
Menyedari kelebihan satu
jaringan selepas menang 2-1 pada saingan suku akhir pertama di Stadium Shah
Alam Sabtu lepas, itu bukan menjadi bekalan terbaik malah kerahan tenaga
berganda diamanatkan kepada pemain Selangor.
Tempang tanpa khidmat penjaga
gol, Jamsari Sabian dan ketua pasukan, Muhammad Shukor Adan selain faktor
keletihan membelenggu pemain, semua perkara itu diketepikan buat seketika.
Tumpuan jurulatih Selangor,
Dollah Salleh adalah untuk mengadunkan persembahan paling mantap dan tidak
longlai dalam usaha mempertahankan kelebihan satu jaringan bagi memastikan
impian Merah Kuning tidak terhalang.
Buat Dollah, corak menyerang
melibatkan semua pemain begitu juga ketika bertahan akan menjadi strategi untuk
menyekat Pulau Pinang daripada menang.
``Inilah corak permainan
Selangor ketika beraksi di Liga Perdana tetapi selepas itu segalanya sudah tidak
seperti dulu.
``Bertemu Pulau Pinang saya
harap aksi seperti di saingan Liga Perdana akan kembali menjadi sentuhan
Selangor kerana ini saja peluang untuk memperoleh kejayaan,'' kata Dollah
ketika dihubungi semalam.
Menyedari persembahan Selangor
yang semakin merosot sejak kebelakangan ini, Dollah menagih kudrat pemain
memberikan lebih daripada seratus peratus.
Lebih penting buat Dollah
meminta pemain lebih berdisiplin ketika di padang ketika menyerang dan bertahan
selain mengurangkan kesilapan-kesilapan kecil yang mungkin membawa padah.
Beliau mengakui betapa bekalan
satu gol belum dianggap selamat apa lagi bermain dengan lawan di gelanggang
sendiri.
``Pulau Pinang ada kelebihan
tersendiri selain jentera serangan yang baik menerusi Dudu dan Viatcheslav
Melnikov dan kemantapan benteng kali ini nampaknya perlu berkerja keras,''
ujarnya.
Buat Dollah, kehadiran semula
Ahmad Tarmini Saiban sedikit melegakan di benteng pertahanan.
Jurulatih Selangor itu juga
turut menagih sumbang Bambang Pamungkas yang masih belum menemui sentuhan
jaringan dalam empat perlawanan lalu.
Ujarnya, prestasi Bambang bukan
merosot sebaliknya mengakui hakikat keletihan membelenggu penyerang itu
memandangkan dia salah seorang pemain yang sering diturunkan sejak dari awal
Liga Perdana hingg kini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iwl6c4et
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan