Ahad, 4 Jun 2017

Red Giants semakin ghairah



ARKIB : 23/09/2005

BAMBANG Pamungkas (kiri) melakukan senaman regangan kaki bersama rakan sepasukan Selangor dalam sesi latihan di Padang PKNS, Kelana Jaya, semalam.

PETALING JAYA - Dalam benak fikiran pengurus Selangor, Datuk Satim Diman cukup berkeyakinan tinggi pasukan yang diterajuinya mampu menjulang Piala FA dan Piala Malaysia.

Bukan mahu mendabik dada meluahkan rasa yakin ampuhnya Selangor, tetapi sebaliknya Satim melontarkan betapa barisan yang dibimbing oleh Dollah Salleh cukup kental dan berdisiplin.

Menurut beliau, perjalanan berliku dilalui pemain mengharungi jadual paling ketat saban minggu beraksi tanpa rehat yang cukup jelas telah mematangkan pemain.

Pengalaman itu, jelas Satim, membuatkan pemain Selangor bukan setakat matang tetapi semakin bersemangat, kental dan berdisiplin.

Selain itu katanya, sikap prihatin dan sokongan moral Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menjadi pemangkin menyemarakkan semangat pemain.

``Kerana itu saya percaya Selangor boleh bergelar juara Piala FA musim 2005 mengharungi rintangan pertama berdepan Perak di Stadium Shah Alam, Sabtu ini (esok).

``Sesudah itu pula minggu depan kita berdepan tugas paling getir untuk merampas Piala Malaysia daripada genggaman Perlis pula,'' ujarnya

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui sewaktu sesi latihan skuad Selangor di padang PKNS di Kelana Jaya di sini, semalam.

Satim berkata, tekad untuk mengucup tiga piala sesudah menjulang kejuaraan Piala Liga Perdana melebihi segalanya buat pemain walaupun dibelenggu keletihan.

Menurut beliau, semua itu bukan menjadi penghalang kerana ini adalah musim terbaik Selangor dengan dua peluang yang hadir tidak akan disia-siakan begitu sahaja.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j3DwI0Nm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan