ARKIB : 30/09/2005
KANGAR - Pertahanan kiri
pasukan Perlis, Mohd. Nazaruddin Mohd. Zin yang diberi tugas mengekang
kelincahan pemain sayap kanan Selangor, Elie Aiboy yakin dapat melaksanakan
tugas itu sebaik mungkin dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di
Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.
Pemain berusia 31 tahun itu
berkata, dia memang sudah menjangka akan mendapat tugasan tersebut daripada
jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim.
Malah dia sudah bersedia sepenuhnya
untuk menyekat setiap hantaran dan gerakan Aiboy yang kerap menghasilkan gol.
``Saya akui kelincahan Aiboy
khususnya pada perlawanan akhir Piala FA ketika menentang Perak tempoh hari.
Bukan mudah untuk mengawal pergerakannya.
``Saya anggap yang ia satu
tugas berat. Aiboy adalah pemain sayap paling lincah dalam saingan bola
tempatan.
Umpanannya sering menghasilkan
gol khususnya jika bola tepat kepada rakan senegaranya dari Indonesia, Bambang
(Pamungkas).
``Sebagai persediaan untuk
menyekat Aiboy, saya menjalani latihan khas sejak beberapa hari lalu dan kini
hanya menunggu masa untuk menyekat Aiboy. Saya seorang di posisi pertahanan
kiri sudah memadai untuk untuk mengawal Elie.
``Aiboy akan berdepan lawan
sebenar pada perlawanan akhir kelak. Bagi saya tugas mengawal Aiboy merupakan
satu penghormatan dari jurulatih yang percaya terhadap kemampuan saya. Saya
juga sudah tidak sabar-sabar untuk berdepan pemain lincah itu kerana kami tidak
pernah bertemu sebelum ini,'' katanya.
Mohd. Nazaruddin yang sudah
tujuh tahun bersama Perlis berkata, Aiboy akan berdepan halangan sebenar pada
perlawanan akhir kelak sehingga sukar untuknya melepasi benteng pertahan Perlis
yang turut dikawal oleh Mohd. Khairi Zainudin, ketua pasukan Muhamad
Kaironnisam Sahabudin dan Azizi Mat Rose.
``Jika Aiboy mengubah posisi
sekali pun, dia akan terus dikekang oleh pemain pertahanan lain. Saya yakin
jika Elie `melarikan diri' dari saya di posisi kiri, pemain pertahanan lain
masih boleh menyekatnya.
``Bagi saya tugas menjaga Aiboy
adalah penting kerana dia memainkan peranan yang besar dalam mencipta gerakan
gol buat Selangor. Hantaran nya akan lebih bahaya jika bola tepat kepada
Bambang.
``Saya percaya jika pergerakan
pemain itu dapat dikunci, jentera serangan Selangor pasti akan pincang,''
ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4j5oXtUiS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan