ARKIB : 18/01/2006
PETALING JAYA - Juara Piala
Malaysia, Selangor mahu melupakan kenangan pahit gara-gara diaibkan oleh Perlis
dengan kekalahan teruk 6-1 Sabtu lalu.
Kejutan kekalahan memalukan
tidak akan berulang buat Selangor apabila mengharungi saingan pusingan kedua
dengan keazaman menebus segala kesilapan yang berlaku sepanjang pusingan
pertama.
Amaran Presiden Persatuan Bola
Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo agar juara tiga piala
musim lalu itu bangkit semula menjadi azimat kepada semua pemain.
Malah sejak pulang dari Perlis
jurulatih Dollah Salleh terpaksa memperuntukkan masa kira-kira sejam untuk
mendengar luahan hati setiap pemain sebelum memulakan sesi latihan.
Pertemuan dari hati ke hati
seperti sebuah keluarga sejak kelmarin, sedikit sebanyak dapat mengetahui apa
yang bersarang di benak fikiran pemain.
``Hasil daripada pertemuan ini,
semua pemain meluahkan segala masalah atau rasa tidak puas hati.
Perlawanan
``Ini dapat membantu saya serta
menyemarakkan kembali semangat juang pemain untuk mengharungi saingan pusingan
kedua,'' ujar Dolah ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara
Selangor dengan PKNS di padang PKNS, Kelana Jaya, di sini semalam.
Dalam perlawanan persahabatan
tersebut Selangor menewaskan PKNS 2-1.
Menurut Dollah, hasil daripada
pertemuan tersebut pemain sudah berikrar untuk mempamerkan corak permainan
bermutu tinggi Sabtu ini.
``Saya telah meminta semua
pemain melupakan kenangan pahit kekalahan teruk kepada Perlis serta persembahan
hambar di pusingan pertama dan memberi fokus pertemuan dengan Perak,'' katanya.
Dollah membayangkan betapa
perlawanan dengan Perak teramat penting untuk mengukir kemenangan dan
mengembalikan keyakinan terhadap pasukan itu.
``Pemain Selangor tidak ada
pilihan, hanya kemenangan ke atas Perak dapat mengubat kekalahan teruk kepada
Perlis, jika tidak saya tidak tahu nak cakap apa,'' ujarnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4jbexnepb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan