Rabu, 28 Jun 2017

Selangor di ambang kejatuhan?



ARKIB : 12/07/2006
KUALA LUMPUR - Penyandang juara, Selangor hampir pasti akan kehilangan kejuaraan ketiga yang disandang musim lalu dengan permulaan buruk apabila tewas dalam dua perlawanan pembukaan Piala Malaysia.

Bukan setakat terlepas gelaran yang disandang, lebih pasrah kemungkinan besar Selangor turut tersisih untuk mengisi tempat ke suku akhir.

Dua kekalahan menyaksikan penyandang juara menduduki tangga tercorot Kumpulan A ketika saingan didominasi oleh NS Naza dan Terengganu.

Apa sudah jadi dengan Selangor? Itulah persoalan yang timbul melihat aksi hambar seperti yang berlaku di awal musim Liga Super menyaksikan Merah Kuning terpelosok di tangga terbawah liga.

Kehadiran bekas bintang Real Madrid, Perica Ognjenovic langsung tidak memberi sebarang impak untuk membantu kebangkitan Selangor yang tewas 1-0 kepada NS Naza dan 2-1 kepada Terengganu, Sabtu lepas.

Baki empat perlawanan yang tinggal perlu dimenangi oleh Selangor bermula dengan pertemuan dengan Sabah di tempat lawan, Sabtu ini.

Dua saingan utama, Negeri Sembilan Naza dan Terengganu mengisi dua tempat tangga teratas Kumpulan A buat melayakkan mereka menempah tempat ke suku akhir.

Kedua-dua pasukan itu masing-masing mengutip enam mata hasil dua kemenangan.

Lebih menarik pertembungan NS Naza dan Terengganu di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini bakal menghadirkan aksi ibarat ‘buku bertemu ruas'.

Turut menjadi tumpuan ialah kebangkitan dua pasukan berstatus kelab iaitu Telekom Melaka dan MPPJ kian menunjukkan taring.

Telekom Melaka diterajui jurulatih Irfan Bakti selaku naib juara Liga Super kini mengungguli Kumpulan B mengutip empat mata diikuti oleh P.Pinang E&O, Kedah dan Johor FC.

MPPJ yang pernah mencipta sejarah menjulang Piala Malaysia pada 2003 pula semakin menunjukkan kebangkitan.

Permulaan buruk dalam saingan Liga Super bukan halangan MPPJ bangkit menduduki tangga teratas Kumpulan D memungut enam mata memintas Perak untuk berada di tempat kedua.

Sementara itu, Sarawak mula menerbitkan rasa yakin untuk menguasai Kumpulan C hasil dua kemenangan menewaskan PKNS 3-0 dan terbaru mengejutkan juara Piala FA, Pahang dengan 1-0 di tempat sendiri.

Sarawak kini menduduki tangga teratas Kumpulan C dicabar hebat oleh Perlis, Pahang dan Johor FC.

Naib juara Liga Perdana, Melaka gagal mempamerkan aksi cemerlang apabila tewas dalam dua perlawanan awal menyaksikan mereka menduduki tangga terbawah Kumpulan D.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4lHzp6bb9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan