Ahad, 4 Jun 2017

Selangor tetap ada kelebihan



 
ARKIB : 30/09/2005

Oleh: AMRAN MULUP dan SAYED HESYAM IDRIS
BAMBANG Pamungkas dikerumuni para peminat ketika bersama rakan-rakan sepasukannya menyaksikan perlawanan akhir Pesta Bola sepak Piala Raja Muda Selangor kali ke-18 di Sekolah Kebangsaan Alam Megah Dua, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM - Momentum kebangkitan Selangor bakal diteruskan dan keinginan tinggi untuk menjulang Piala Malaysia buat melengkapkan gelaran ketiga musim 2005 akan menjadi realiti.

Tinggal tidak sampai 48 jam satu lagi halangan yang perlu Selangor lalui dengan misi menyekat Perlis daripada terus menggenggam piala paling berprestij.

Dua kejuaraan sudah menjadi milik Selangor - Piala Liga Perdana dan Piala FA. Kini peluang terhidang untuk menjulang Piala Malaysia tidak akan disia-siakan.

Kesebelasan utama Selangor yang bakal diturunkan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, bertekad meneruskan kemasyhuran untuk membenam Perlis buat Red Giants mencipta rekod dengan mendakap gelaran kali ke-30.

Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman berkata, pemain tampak semakin bersemangat dan tidak mengendahkan kekuatan Perlis.

``Saya tidak menafikan Perlis adalah satu pasukan yang mantap di semua posisi sama kuat dengan Selangor.

``Tetapi kelebihan Selangor berbanding Perlis kerana sebahagian besar pemain Merah Kuning boleh menjaringkan gol,'' ujarnya ketika ditemui sewaktu skuad Selangor menyaksikan pertandingan akhir Pesta Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor kali ke-18 di Sekolah Kebangsaan (SK) Alam Megah Dua di sini, semalam.

Skuad Merah Kuning meluangkan masa hampir sejam sambil membawa Piala Liga Perdana dan bertemu peminat.

Satim menjelaskan kelebihan itu sebenarnya bakal menjadi jarak pemisah kekuatan Selangor dan Perlis.

Beliau menambah Perlis terlalu bergantung kepada kelibat Zacharia Simukonda, Philimon Chipeta dan Yusri Che Lah.

Selangor pula kata beliau, tidak terlalu bergantung kepada sentuhan Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes semata-mata.

``Kita masih boleh mengharapkan Elie Aiboy, Mohd. Amri Yahyah, D. Surendran, K. Sanbagamaran dan Muhamad Shukor Adan untuk menjaringkan gol,'' katanya.

Beliau menambah perang psikologi yang dicetuskan oleh Perlis nyata tidak sama sekali menjejaskan semangat kental anak didik Dollah Salleh.

Sementara itu, Perlis tidak akan menghiraukan kelebihan individu yang dimiliki Selangor sebagai halangan untuk mereka mempertahankan kejuaraan.

Jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim mengakui Selangor lebih baik daripada segi individu khususnya faktor usia dan pengalaman serta status pemain berbanding Perlis.

``Perlis sudah buktikan kelebihan individu bukan kelebihan mutlak.

``Saya akui Selangor memiliki kelebihan individu kerana sebahagian besar daripada pemain mereka masih muda, berpengalaman di peringkat antarabangsa dan merupakan nama besar dalam kancah bola sepak tempatan.

``Penjaga gol Perlis, Mohd. Amran Omar sudah memasuki usia veteran 33 tahun berbanding lawannya di Selangor Jamsari Sabian yang berada pada usia kemuncak 27 tahun.

``Siapalah Mohd Khairi (Zainudin), Mohd Nazaruddin (Mohd Zain) dan Azizi Mat Rose di bahagian pertahanan Perlis berbanding Selangor yang memiliki Ahmad Tarmini Saiban, P. Gunalan serta D. Surendran?''

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j5ndWO4q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan