Sabtu, 10 Jun 2017

Selangor beri amaran



ARKIB : 16/01/2006

HULU KLANG - Menteri Besar Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo memberi kata dua kepada pemain bola sepak Selangor sama ada memperbaiki mutu permainan mereka atau meninggalkan pasukan itu.

Mohamad Khir yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berkata, tidak ada tempat bagi pemain yang tidak berminat bermain untuk Selangor.

PBS tidak berminat ``menyimpan'' pemain yang tidak mempunyai semangat kesukanan yang tulen, katanya.

``Amaran ini ditujukan bukan sahaja kepada pemain tempatan bahkan pemain import,'' katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau mengulas prestasi buruk pasukan juara Piala Malaysia musim lalu itu, yang hanya menang dua daripada tujuh perlawanan dalam Liga Super termasuk kalah teruk apabila dibelasah oleh Perlis 6-1 dalam aksi di tempat lawan, kelmarin.

``Saya sedar ramai (peminat Selangor) yang tidak berpuas hati dengan prestasi Selangor kebelakangan ini. Sesetengah pemain bukan sahaja tidak berdisiplin tetapi tidak memberikan komitmen.

Mohamad Khir berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan sebelum mengambil tindakan.

``Saya tidak berminat dengan pemain yang bermain hanya mengharapkan wang atau ganjaran. Mereka (pemain) tidak seharusnya menganggap bermain bola sepak sebagai kerjaya sebaliknya bermain atas semangat kesukanan yang tinggi,'' kata Khir.

Ketika ditanya apakah bentuk tindakan yang akan diambil, Mohamad Khir berkata, ia termasuk memotong gaji pemain terbabit.

Mengenai masalah gaji pemain, Mohamad Khir berkata, FAS telah melayan mereka dengan baik.

``Oleh kerana itu apabila Selangor kalah empat kali berturut-turut saya telah memanggil para pemain,'' katanya.

Beliau berkata, pemain tidak boleh mengharapkan FAS memenuhi semua kehendak mereka kerana persatuan telah menjaga kebajikan termasuk memberi ganjaran ketika mereka menjuarai Piala Malaysia.

``Jika pemain masih tidak berpuas hati, mereka boleh meninggalkan pasukan ini (Selangor), kerana kita tidak perlukan pemain yang tidak mempunyai semangat kesukanan yang tinggi,'' katanya.

Terdahulu di Kangar, jurulatih Selangor, Dollah Salleh turut sedih dengan kekalahan besar itu sambil menganggap ia ``malam malang buat Selangor.''

Menurutnya, keputusan itu memang satu kejutan lebih-lebih lagi dengan penyingkiran dua pemain termasuk ketua pasukan, Muhammad Shukur Adan dan Mohd. Amri Yahya, yang dilayangkan kad merah.

``Dua gol awal itu memusnahkan permainan kami,'' katanya sejurus berakhirnya perlawanan.

Menurutnya, keadaan lebih buruk apabila pengadil perlawanan, R. Krishnan yang begitu mudah melayangkan dua kad kuning kepada Muhammad Shukor dan Mohd. Amri.

``Pengadil boleh melayangkan kad kuning untuk kesalahan pertama tetapi dia sepatutnya memberi amaran sahaja bagi kesalahan kedua dan tahu kesannya kalau memberi dua kad kuning,'' ujarnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jbNq6Xwj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan