ARKIB : 26/09/2005
Oleh: AMRAN MULUP
SHAH ALAM - Kejayaan Selangor
dinobatkan selaku juara Piala FA buat kali keempat selepas menewaskan Perak 4-2
dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, kelmarin tidak akan membuatkan
pemain Merah Kuning dibuai mimpi-mimpi indah.
Kemenangan bergaya itu
sebaliknya disematkan di benak fikiran semua pemain kerana tugas mereka masih
belum berakhir sebelum menamatkan saingan musim 2005.
Sebaliknya kemenangan ke atas
Perak itu dapat membakar semangat dengan misi terakhir pemain Selangor untuk
membawa pulang Piala Malaysia apabila berdepan dengan Perlis dalam perlawanan
akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Jurulatih Selangor, Dollah
Salleh yakin barisan pemain tidak akan terleka atau dibuai mimpi selepas
dinobatkan selaku juara Piala FA.
Menurut beliau, pemain sedar
tugas mereka belum selesai kerana perlu mengharungi saingan lebih getir bertemu
Perlis pula dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pula.
``Saya yakin pemain tidak akan
leka atau alpa semata-mata menjulang Piala FA kerana mereka juga lebih tahu
misi paling penting merampas Piala Malaysia daripada genggaman Perlis.
``Jika sikap alpa dan rasa
senang hati menyelubungi pemain pastinya Selangor akan berdepan masalah
berdepan dengan Perlis,'' katanya.
Sehubungan itu Dollah tidak
menggalakkan sebarang bentuk sambutan besar-besaran diadakan bagi meraikan
kejayaan tersebut.
Katanya, cukuplah meraikan
kejayaan itu sewaktu penyampaian hadiah di Stadium Shah Alam.
``Tumpuan pemain sekarang
adalah untuk membawa pulang Piala Malaysia dan kita perlu memberi fokus kepada
pertemuan dengan Perlis,'' ujarnya.
Melihat semangat juang tinggi
yang ditunjukkan oleh kesebelasan Selangor itu walaupun dibelenggu faktor
keletihan, Dollah yakin peluang cerah untuk menewaskan Perlis.
Kejayaan ini kata jurulatih
itu, menyuntik semangat membara pemain dengan misi terakhir untuk merampas
gelaran Piala Malaysia daripada genggaman Perlis pula.
Ujarnya, pemain akan diberi
cuti rehat selama dua hari dan akan kembali menjalani latihan rapi menghadapi
saingan Piala Malaysia petang esok.
``Buat masa ini saya tidak mahu
pemain diraikan dalam majlis yang besar biarlah sesudah membawa pulang Piala
Malaysia barulah kita fikirkan mengenai perkara tersebut,'' tegasnya.
Dollah tidak menafikan pemain
Selangor tampak keletihan tetapi didorong oleh semangat juang tinggi dan
disiplin tinggi menjadi pendorong buat pemain menewaskan Perak.
Ujarnya, sejurus Bambang
Pamungkas meledakkan jaringan pertama pada minit kelapan, Perak kembali
mengikat kedudukan 1-1 menerusi Aboulaye Traore tetapi setelah Elie Aiboy
menjaringkan gol ketiga bermulalah detik kebangkitan Selangor.
``Selepas gol kedua, Selangor
terus bangkit untuk mendominasi permainan dan berjaya menyekat asakan bertali
arus Perak,'' ujarnya.
Dalam pada itu Dollah
menyifatkan pemain lincah Elie Aiboy adalah kunci kejayaan Selangor menewaskan
Perak.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j3RtRGQj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan