Ahad, 4 Jun 2017

Selangor selesa



 
ARKIB : 15/09/2005 
Oleh AMRAN MULUP
PEMAIN pertahanan Selangor, Ahmad Tharmini Saiban (kiri) berjaya mengekang pergerakan penyerang Terengganu, Dos Santos pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi. Selangor menang 3-1. - Gambar Halim Khalid.


SHAH ALAM - Selangor membawa bekalan selesa ke Terengganu selepas membenamkan pasukan Pantai Timur itu 3-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan itu cukup melegakan buat Selangor dengan kelebihan dua jaringan walaupun ia belum memberi jaminan peluang untuk layak ke akhir apabila bertemu Terengganu pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sabtu ini.

Barisan pemain Selangor yang mendapat sokongan padu di hadapan kira-kira 60,000 penyokong yang didominasi Merah Kuning jelas bertenaga menguasai pentas saingan berbanding lawan.

Lebih menceriakan buat Merah Kuning melihat pemain lincah, Elie Aiboy mengakhiri kemarau jaringan dengan menghasilkan gol pertamanya sejak menyarung jersi Selangor awal musim ini apabila dia menanduk masuk gol pada minit ke-79.

Bagaimanapun, terlebih dulu Terengganu menyentap semangat Selangor dengan gol pendahuluan apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi pemain import dari Brazil, Dos Santos.

Gol berpunca dari sepakan percuma sebelum ditampan oleh pertahanan Selangor, Nazrulerwan Makmor tetapi bola itu bergolek di depan Santos yang terus melepaskan rembatan menggegar jaring menewaskan penjaga gol, Jamsari Sabian.

Tersentak

Gol awal itu jelas tidak mematahkan semangat pemain Merah Kuning yang menggandakan asakan bertali arus, peluang terbaik hadir pada minit ke-22 namun sepakan percuma D. Surendran dari jarak 25 meter ditepis keluar oleh penjaga gol Terengganu, Md. Syamsuri Mustafa.

Terengganu jelas tertekan dengan penguasaan penuh Selangor yang melakukan serangan demi serangan menerusi gandingan Bambang Pamungkas dan Muhammad Khalid Jamlus ketika Brian Fuentes tidak diturunkan kerana menjalani satu penggantungan perlawanan.

Selangor yang memburu gol untuk mengikat kedudukan 1-1 akhirnya akhirnya menemui sentuhan disempurnakan dengan cemerlang oleh Surendran yang melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti menewaskan Syamsuri pada minit ke-28.

Pada minit ke-40 kesilapan benteng pertahanan tuan rumah hampir membawa padah namun dua percubaan Dos Santos dan Sapian Wahid tidak mampu menewaskan Jamsari.

Pada minit ke-79, Elie Aiboy meletakkan Selangor di depan apabila dia mudah menanduk masuk gol kedua menewaskan Syamsuri sebelum `ayam tambatan' Selangor, Bambang Pamungkas melengkapkan gol ketiga Selangor pada minit ke-90.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j2GqnUCI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan